Inovasi Kaedah Pertanian Beras Adan

Disiarkan pada 20 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


BA'KELALAN: Para petani di Ba'Kelalan disaran untuk menginovasikan kaedah pertanian beras Adan dari segi mekanikal dan automasi tanpa mengabaikan kualiti organik premium beras ini.

Menurut Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Datuk Mutang Tagal, para petani perlu menjalankan usaha secara kolektif dalam kalangan mereka serta berkolaborasi untuk memulakan inisiatif untuk pengeluaran komersil.

"Apabila usaha ini telah dijalankan, komuniti petani Ba'Kelalan boleh memohon kerjasama, bantuan dan sokongan daripada agensi kerajaan negeri dan persekutuan, terutamanya dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, penjenamaan, promosi dan pemasaran beras Adan sehingga ke pasaran antarabangsa.

"Beras Adan ini telah memiliki hak milik intelektual (IP) dan diiktiraf sebagai beras organik premium. Saya berharap agar komuniti petani Ba'Kelalan mengambil inisiatif untuk menghasilkannya secara komersial dan mempromosikan kualiti unik dan nilai beras Adan ini,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian Pesta Beras Adan 2024 di sini pada Jumaat. 

Tambah beliau, pembangunan infrastruktur di kawasan Ba'Kelalan juga telah dijadualkan dalam beberapa tahun yang akan datang termasuk pembinaan jalan raya, loji rawatan air, sambungan elektrik yang berterusan dan stabil serta penambahbaikan capaian internet. 

"Dengan penambahbaikan infrastruktur ini, komuniti Ba'Kelalan harus membangunkan tanah mereka dan mula menghasilkan sayur-sayuran segar, buah-buahan serta bunga-bunga yang hanya terdapat di kawasan dataran tinggi seperti penghasilan komersial di Kundasang dan Cameron Highlands. 

“Ini akan menghasilkan pendapatan tambahan bagi mereka selain bergantung kepada pengeluaran beras Adan dan pada masa yang sama menarik lebih banyak pelancong untuk melawat Ba'Kelalan,” tambahnya. 

Difahamkan, Pesta Beras Adan 2024 ini berlangsung selama dua hari bermula 19 April lalu dengan menawarkan pelbagai aktiviti seperti jamuan rakyat, sukan dan tarian tradisional serta pertunjukan kebudayaan dan masakan Lun Bawang.

Dalam pada itu, Datuk Mutang turut memberi sumbangan sebanyak RM10,000 kepada pihak penganjur bagi menjayakan sambutan Pesta Beras Adan 2024 ini. 

Hadir sama, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Timbalan Di-Pertua Dewan Negara Senator Datuk Nur Jazlan Tan Sri Mohamed, Setiausaha Persekutuan Sarawak Dato Ahmad Nazri Mohd Hassan, Penglima 9 Briged Brigenier Jeneral Ahmad Nor Zaini Badrun dan Penghulu Udan Meru. -EDISI UKAS