Pusat GIATMARA Spaoh Bakal Terima Pelajar Bermula Januari 2025

Disiarkan pada 20 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


BETONG: Pusat latihan, GIATMARA di Spaoh dijangka akan menerima pengambilan pelajar pertamanya menjelang Januari tahun depan.

Menurut Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, bekas pejabat pertanian itu kini sedang diubah suai dan dinaik taraf untuk dijadikan pusat latihan kemahiran dan teknikal.

Jelasnya, pusat ini menawarkan dua kursus jangka pendek iaitu elektrik dan jahitan serta satu kursus jangka panjang iaitu kajian elektrik. 

“Kita memperuntukkan sejumlah RM600,000 untuk proses menaik taraf. 

“Semoga ia akan siap untuk pengambilan pertama melibatkan 20 orang pelajar dari kawasan Bukit Saban menjelang tahun depan,” katanya selepas mendengar taklimat mengenai proses pengubahsuaian dan naik taraf di pejabat daerah kecil Spaoh di sini pada Sabtu. 

Datuk Amar Douglas menambah, pusat itu akan memberi peluang kepada belia yang menganggur untuk mendapatkan latihan kemahiran.

“Ini sangat penting. Kita mahu belia berpeluang memperoleh kemahiran dalam kedua-dua bidang ini dan bidang-bidang lain yang akan diperkenalkan pada masa hadapan.

"Dengan lebih banyak aktiviti ekonomi akan datang, akan ada peluang pekerjaan dalam industri elektrik, perumahan dan pembangunan tanah untuk mereka,” tambahnya. 

Hadir sama, Pengarah GIATMARA Sarawak Abdul Halim Sarojai dan Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Betong Jason Ng. -EDISI UKAS