800 Kes Media Sosial Libatkan Belia Sarawak Dilaporkan

Disiarkan pada 03 Oct 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Sebanyak 800 pelbagai kes melibatkan media sosial dalam kalangan belia Sarawak dilaporkan sejak Januari hingga Julai tahun ini.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu berkata, 800 kes yang melibatkan masalah seperti buli siber, kes penipuan atas talian dan sebagainya itu telah diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tujuan siasatan dan tindakan selanjutnya.

Menurut beliau, sebarang kes yang melibatkan penyalahgunaan media sosial terutamanya dalam kalangan belia di negeri ini dipandang serius dan akan diambil tindakan sewajarnya agar tidak berlarutan ke tahap yang lebih kritikal.

Dalam satu sesi sidang media Mesyuarat Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2024 di sebuah hotel di sini pada Khamis, beliau menyeru agar semua lapisan masyarakat menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam membendung masalah ini.

“Dari sudut penyiasatannya, masih lagi berjalan buat kebanyakan kes ini tapi kalau kita lihat daripada penggunaan media sosial ini, ianya bukanlah tanggungjawab agensi sahaja tetapi melibatkan semua pihak.

“Malah, bukan sahaja ibu bapa tetapi masyarakat, kelab-kelab belia dan sebagainya perlu mengambil langkah untuk mendedahkan perkara yang betul dan salah kepada belia,” jelas beliau.

Pengerusi MPBN itu menambah, banyak pendedahan yang perlu dibuat lebih-lebih lagi di kawasan luar bandar mengenai jenayah-jenayah yang dibuat melalui media sosial ini.

“Banyak usaha yang perlu kita lakukan untuk membendung masalah ini terutamanya pendedahan di mana perkara yang paling penting sekarang ialah melahirkan komuniti yang tahu cara menjaga keselamatan diri masing-masing dan tahu apa yang betul dan salah,” jelas beliau lagi.

Antara lain yang dibincangkan dalam mesyuarat pada hari berkenaan adalah masalah gejala sosial dalam kalangan belia, masalah keciciran belia dalam bidang pendidikan formal dan usaha memperluaskan peluang pekerjaan kepada golongan belia di Sarawak.

Hadir sama Setiausaha Agung Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Shafiee Ahmad, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Sarawak Lamat Nyalau, wakil-wakil kementerian dan agensi serta persatuan dan kelab terlibat yang lain. -EDISI UKAS