Pesta Roban Kini Dikenali Sebagai ‘Roban Food Festival’

Disiarkan pada 19 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KABONG: Pesta Roban dijenamakan sebagai ‘Roban Food Festival’ atau Pesta Makanan Roban pada tahun ini dengan tarikh cadangan penganjurannya bermula 10 hingga 26 Mei 2024.
 
Perkara itu ditetapkan semasa mesyuarat dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Kabong Tahir Mohd Sharee yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka Mohamad Duri dan wakil-wakil dari Pusat Khidmat Kabong dan Krian pada Jumaat.
 
Aktiviti tahunan itu anjuran Pejabat Daerah Kecil Roban dengan kerjasama pelbagai jabatan, agensi dan badan bukan kerajaan (NGO).
 
Penganjuran pesta ini khusus untuk warga Roban serta masyarakat luar yang ingin berkunjung ke daerah itu dan sebagai medium untuk mempertingkatkan peluang dalam aktiviti ekonomi khususnya kepada peniaga-peniaga kecil tempatan.
 
Selain itu, ianya boleh memperkenalkan Daerah Roban sebagai salah satu dari tempat yang menarik untuk dilawati selain menjadi platform memupuk hubungan silaturahim antara komuniti dan pemimpin tempatan.
 
Pelbagai pengisian telah dirancang sepanjang pesta tersebut dengan tarikan utama pastinya acara kemuncak iaitu sukan air yang menjadi tarikan lebih 10,000 pengunjung tahun lepas. - EDISI UKAS