BETONG: Seramai 36 peserta telah mengikuti Kursus Pembuatan Sugu Tinggi Iban Siri 1 secara percuma di Betong pada Rabu.
Kursus tersebut dianjurkan oleh Mitz Agency yang disokong oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) di bawah 'Dana Mudahcara Warisan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak'.
Ketua Fasilitator dan Pengasas Mitz Agency, Roselind Ngali menyatakan harapan beliau agar para peserta dapat memanfaatkan ilmu yang diperoleh untuk pembuatan Sugu Tinggi ini di mana ia merupakan salah satu aksesori penting dalam pakaian tradisional masyarakat Iban.
Majlis perasmian turut dihadiri oleh Pemanca Norman Ngumbang Sandin yang mewakili Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu.
Beliau telah menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta dan berharap agar peserta dapat menghasilkan Sugu Tinggi berkualiti untuk kegunaan sendiri dan juga untuk tujuan jualan bagi menjana pendapatan.
Untuk rekod, kursus ini merupakan siri pertama daripada tiga siri yang dirancang dengan Siri 2 akan diadakan di Kapit pada 11 hingga 13 Oktober 2024 dan Siri 3 di Bintulu pada 5 hingga 6 November 2024.
Pada majlis tersebut, Sweety Dayak Tura dinobatkan sebagai peserta terbaik dalam Kursus Pembuatan Kraftangan (Sugu Tinggi Iban) berkenaan.
Hadir sama Pegawai UKAS Bahagian Betong Tony Malang Chabu dan Tuai Rumah Panjang Graji Atas Harry Uding.-EDISI UKAS