Projek Skim Pembesaran Kampung Melayu Debak Bermula Dalam Masa Terdekat

Disiarkan pada 19 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


DEBAK: Projek Skim Pembesaran Kampung Melayu (SPK) Debak bagi Fasa Pertama akan bermula dalam masa terdekat.
 
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas telah hadir bersama pihak kontraktor yang dipilih bagi meninjau lokasi SPK bagi Kampung Melayu Debak bertempat di Jalan Suri, Debak pada Rabu.
 
Projek SPK Fasa 1 yang melibatkan keluasan tanah seluas 5.4 Hektar akan merangkumi kerja-kerja menembok tanah, pembinaan parit konkrit dan utiliti asas bagi punca utama elektrik dan paip air.
 
Menurut Datuk Mohammad Razi, semasa beliau diberi taklimat ringkas bersama kontraktor yang terlibat, sebanyak 51 daripada 245 lot yang bakal dibina dalam fasa pertama.
 
Beliau juga telah memohon kepada kontraktor untuk menetapkan satu tarikh yang sesuai bagi majlis pecah tanah yang dicadangkan akan dilakukan kemudian.
 
“Projek SPK ini dimohon sebelum ini untuk memudahkan penduduk kampung khususnya bagi Kampung Melayu Debak yang masih lagi tinggal bersama ahli keluarga mereka dan berkelayakan untuk memiliki tanah dan rumah kediaman mereka sendiri.
 
“Ini adalah faktor kepadatan penduduk yang sedia ada di kampung tersebut.
 
“Ini adalah salah satu daripada Projek Rakyat yang diumumkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bagi membantu rakyat Sarawak terutama bagi golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah kediaman mereka sendiri,” katanya.
 
Menurutnya, projek SPK ini bakal siap dibina pada Oktober 2025.
 
Turut hadir sama dalam perjumpaan tersebut Temenggong Melayu Betong Piee Alwi dan barisan Ketua Kaum bagi Kampung Melayu Debak.
 
Pada sebelah petangnya berkesempatan menyempurnakan sumbangan enam unit kipas kepada Angkatan Pertahanan Awam di Debak, Spaoh dan Betong.
 
Semasa pertemuan ringkas bersama Kapten (PA) Pegawai APM Bahagian Betong, Siti Huzaimah Ibrahim, Datuk Mohammad Razi turut berbincang tentang keperluan aset yang perlu ditambah di APM Debak.
 
Beliau turut singgah melawat Pejabat APM Debak bagi melihat sendiri keperluan di pejabat tersebut. -EDISI UKAS