KUCHING: Kerajaan Sarawak terus komited dalam memperkasakan sektor pendidikan dengan memperuntukkan RM12 juta kepada Sekolah Rendah Bantuan Cina serta RM10 juta kepada Sekolah Menengah Bantuan Cina di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, peruntukan bagi Sekolah Rendah Bantuan Cina tahun ini telah meningkat sebanyak RM3 juta berbanding RM9 juta pada tahun lalu.
“Kali ini, peruntukan telah dinaikkan daripada RM9 juta kepada RM12 juta bagi membantu sekolah rendah bantuan Cina.
"Di samping itu, RM10 juta lagi diperuntukkan kepada sekolah menengah dan semua aspek ini diambil kira demi masa depan anak-anak kita,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sewaktu menyempurnakan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-40 Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Rendah Bantuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian di Pusat Konvensyen Borneo Kuching pada Selasa.
Tambah beliau, kerajaan negeri turut mengiktiraf Sijil United Examination Certificate (UEC) yang membolehkan pelajar sekolah Cina melanjutkan pelajaran dalam bidang strategik di universiti hak milik Sarawak pada tahun 2026.
“Menjelang tahun 2026, pelajar UEC akan layak untuk melanjutkan pelajaran di universiti negeri Sarawak dalam bidang-bidang yang penting seperti teknologi satelit dan aeroangkasa dan pendidikan ini akan diberikan secara percuma,” jelasnya.
Datuk Patinggi Abang Zohari turut menegaskan bahawa pelaburan dalam pendidikan adalah elemen penting dalam mempersiapkan generasi muda dengan kemahiran yang relevan bagi menghadapi dunia yang semakin maju dan kompetitif.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang See Chee How, Datuk Bandar Kuching Selatan Dato Wee Hong Seng, Pengerusi Penganjur merangkap Pengerusi Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Rendah Cina Bantuan Kuching, Samarahan dan Bahagian Serian Dato Jonathan Chai Voon Tok, Naib Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Sarawak Song Chang Hong serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS