Projek Naik Taraf Rumah Panjang Franklin Guang Dijangka Siap Jun Ini

Disiarkan pada 19 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


BUKIT BEGUNAN: Projek naik taraf Rumah Panjang Franklin Guang, Rawan Ili Tanjung Bijat dijangka siap menjelang Jun tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata, projek naik taraf menerusi projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM100,000.

Menurutnya, kerja-kerja naik taraf rumah panjang tersebut telah bermula pada 22 Febuari lepas dan tempoh pelaksanaan projek adalah selama empat bulan.

Beliau berkata demikian semasa melakukan lawatan kerja bersama agensi pelaksana projek iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, kerja-kerja mendirikan tiang rumah dan simen bahagian ruai dan bilik utama telah selesai dilaksana.

Malah jelasnya, penghuni rumah panjang berkenaan berpuas hati dengan kerja-kerja pelaksanaan projek RTP tersebut.-EDISI UKAS