Ahli Parlimen Sarikei Komited Terhadap Pembangunan Di Kawasan Luar Bandar, Rumah Panjang

Disiarkan pada 01 Oct 2024
Sumber Berita: UKAS



SARIKEI: Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Sarikei Dato' Sri Huang Tiong Sii menegaskan komitmennya terhadap pembangunan di kawasan luar bandar dan rumah panjang, khususnya dalam usaha pelaksanaan pembinaan jalan raya.

Jelasnya, sejak dipilih sebagai wakil rakyat selama lapan tahun, usaha untuk memajukan pembangunan jalan raya telah dipergiatkan.

“Ini termasuk pembinaan jalan berturap simen dan tar yang bukan sahaja memudahkan sistem pengangkutan, tetapi turut membawa kemajuan kepada kawasan luar bandar sekaligus meningkatkan taraf hidup penduduk,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa mengunjungi beberapa rumah panjang di kawasan Ulu Sarikei dan Sg Rian, Ulu Sarikei pada Selasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok itu menambah, beliau turut mengambil berat tentang keadaan fizikal rumah panjang.

Beliau telah memperuntukkan dana untuk kerja-kerja membaikpulih rumah panjang, termasuk memperbaiki atap, lantai, siling, tikar lantai, dan kipas, dan lain-lain

Dato Sri Huang juga memuji Kerajaan Sarawak pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang telah memperuntukkan dana yang signifikan bagi meningkatkan pembangunan kemudahan asas, pembinaan rumah ibadat seperti tokong, gereja, masjid, serta sekolah-sekolah di kawasan Sarikei.

“Semua usaha ini adalah bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar,” ujarnya. -EDISI UKAS