Pengurusan Projek Ditekankan Dalam Program OTR 2024

Disiarkan pada 01 Oct 2024
Sumber Berita: UKAS



BANDAR SERI BEGAWAN: Pengurusan Projek ditekankan dalam Program One Team Retreat (OTR) 2024 bagi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS) yang berlangsung selama tiga hari di sebuah hotel terkemuka di sini.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee berkata, objektif program tersebut adalah untuk membolehkan peserta berkongsi pandangan dan bertukar idea, sambil membentuk kerjasama berasaskan prinsip 3R: ‘Revisit, Rethink, dan Recharge’.

Program retreat itu juga menurutnya, berperanan dalam menyelaraskan strategi, memupuk ikatan, menjangka keperluan masa depan serta memanfaatkan kerjasama yang lebih erat dalam kalangan SCS.

“Projek pembangunan kerajaan merupakan penggerak utama dalam kemajuan Sarawak yang menyokong tiga tonggak Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 iaitu Kemakmuran Ekonomi, Keterangkuman Sosial dan Kelestarian Alam Sekitar.

"Pengurusan projek adalah penting bagi kerajaan untuk memastikan bahawa projek-projek yang dilaksana memberikan manfaat yang jelas kepada masyarakat,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluannya semasa hari pertama program tersebut pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepada para peserta agar memanfaatkan sepenuhnya sesi berkenaan dan melibatkan diri secara aktif dalam perbincangan serta aktiviti yang diadakan.

Terdapat lima kertas kerja kumpulan dibentangkan antaranya mengenai ‘Belanjawan dan Perolehan’ daripada Pengarah Belanjawan Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak Datin Dayang Ernie Awang Hashim, ‘Reka Bentuk, Penempatan Perancangan, Tender dan Anugerah’ daripada Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Datu Abdullah Julaihi, diikuti ‘Pelaksanaan dan Perolehan’ oleh Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datu Chiew Chee Yau.

Kertas kerja lain yang turut dibentangkan adalah berkaitan ‘Penyelenggaraan’ daripada Pengarah Unit Pentadbiran Jabatan Premier Sarawak Datu Mohammad Junaidi Mohidin disusuli kertas terakhir daripada Setiausaha Tetap, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Jafri Lias berhubung ‘Pengurusan Utiliti di Bawah Projek’.

Seramai 125 ketua jabatan dari pelbagai agensi dan badan berkanun di Sarawak telah menyertai program tersebut.

Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Peguam Besar Negeri Sarawak Datu Saferi Ali, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik serta Pengarah Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU) merangkap ketua sekretariat utama Superi Awang Said.

Terdahulu, sesi progam OTR diceriakan dengan senaman pagi yang melibatkan semua peserta, bertujuan untuk menyegarkan minda dan tubuh bagi menggalakkan semangat kerjasama dan meningkatkan interaksi dalam kalangan SCS.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dijangka menghadiri majlis makan malam sempena program tersebut sebagai tetamu kehormat pada Rabu.-Edisi UKAS