Kualiti Udara Sarawak Kekal Sihat

Disiarkan pada 19 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Kualiti udara di Sarawak masih kekal sihat selepas letusan gunung berapi Gunung Ruang.

 

Dalam satu kenyataan media pada Jumaat, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak memberitahu, pihaknya sedang memantau rapi perkembangan terkini situasi itu melalui lima Stesen Pemantauan Kualiti Udara (AQMS) di Lundu, Tebedu, Lubok Antu, Bario dan Lawas.

 

“Berdasarkan bacaan yang diperolehi daripada AQMS setakat jam 0800 pada 17 April 2024 telah menunjukkan bahawa bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada dalam kategori baik (0-50) hingga sederhana (51-100).

 

“Selain itu, bacaan IPU daripada laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut menunjukkan IPU di pelbagai kawasan di Sarawak berada dalam kategori baik hingga sederhana dan tiada bacaan tidak sihat direkodkan,” jelasnya.

 

Dalam pada itu, NREB menegaskan bahawa letusan Gunung Ruang di Indonesia tidak menjejaskan kualiti udara ambien secara langsung di Sarawak.

 

Menurutnya, Kerajaan Sarawak prihatin terhadap kebimbangan rakyat berikutan kemungkinan kesan letusan gunung berapi Gunung Ruang kepada kualiti udara di negeri ini.

 

“Letusan itu boleh membebaskan zarah berbahaya, termasuk gas gunung berapi seperti sulfur dioksida (SO2) dan abu. 

 

“Bilangan particular matter (PM) cerapan selepas letusan gunung berapi bergantung pada masa, keamatan, keadaan cuaca termasuk arah angin juga menentukan bilangan cerapan PM selepas letusan,” ujarnya.

 

Sementara itu, NREB berkata, cuaca panas semasa yang dialami di kebanyakan kawasan di Sarawak adalah disebabkan musim inter-monsun yang dijangka berkekalan sehingga Mei depan dan fenomena El-Nino. 

 

“Semasa El-Nino, Malaysia serta kawasan lain di Asia Tenggara cenderung mengalami kemarau yang berpanjangan dan berdasarkan laporan pemantauan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) pada 31 Mac 2024, keadaan El-Nino dijangka berlarutan sehingga Jun 2024. 

 

“Oleh itu, cuaca panas ketika ini tidak secara langsung disumbangkan oleh letusan gunung berapi Gunung Ruang,” katanya.

 

NREB Sarawak juga menasihati orang ramai agar mengelak daripada melakukan pembakaran terbuka yang dikhuatiri memburukkan lagi keadaan serta melaporkan sebarang kes pembakaran terbuka kepada NREB dan JAS. -EDISI UKAS