KUCHING: OCIM Sdn Bhd (OCIM) telah menyumbangkan mesin ultrasound bernilai RM130,000 kepada Unit Radiologi Hospital Umum Sarawak (HUS).
Sumbangan tersebut itu dibuat selaras dengan peranan OCIM sebagai salah satu penaja korporat kepada Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI).
Simbolik penyampaian sumbangan telah disampaikan oleh Penasihat OCIM Dr Kim Soo Yeon kepada Presiden SABATI Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang bertempat di Wisma SABATI, Petra Jaya pada Isnin.
Menurut Timbalan Presiden III dan Setiausaha Kehormat SABATI, Datin Amar Enn Ong Siok Ean, salah satu misi persatuan itu adalah untuk menyokong sistem penjagaan kesihatan dengan melibatkan diri bersama penderma korporat yang bermurah hati untuk menyumbangkan peralatan perubatan adalah amat diperlukan terhadap hospital tempatan termasuk HUS.
“Hospital memerlukan peralatan perubatan yang terkini untuk membantu memudahkan para doktor melakukan perkidmatan mereka sehabis baik, kerana doktor yang hebat pun terhad tanpa alat yang betul.
"Peralatan perubatan berkembang seiring dengan peredaran teknologi dan biasanya berubah setiap tiga hingga lima tahun. Apabila anda menggunakan peralatan yang lebih tua daripada lima tahun, ia masih berfungsi tetapi tidak pada tahap yang terbaik.
"Dengan peralatan perubatan yang baik dan terkini, sudah pasti para doktor boleh menjalankan khidmat mereka dengan lebih teliti terutamanya bagi pesakit di Sarawak," katanya ketika berucap dalam majlis penyampaian sumbangan berkenaan.
Untuk rekod, keperluan untuk imbasan ultrasound boleh mencecah sehingga 1,700 kes sebulan dan terdapat beberapa mesin yang sedia ada telah digunakan selama lebih sembilan tahun serta tidak lagi berfungsi dengan baik.
Oleh itu, sumbangan ini diharapkan dapat mengurangkan tempoh menunggu analisis pemeriksaan imbasan ultrasound daripada empat hingga tujuh bulan kepada dua atau tiga bulan.
Terdahulu, OCIM turut menyumbangkan RM100,000 kepada SABATI pada tahun 2022 bagi menyokong program penjagaan kesihatan persatuan itu di seluruh Sarawak.
Hadir sama Bendahari Kehormat SABATI Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin, Ketua Jabatan Komunikasi OCI Holdings Cha Jeang Whan, Ketua Pegawai Operasi (COO) OCIM Dato' Dr Anas Alam Faizli, Timbalan Pengarah (Perubatan) II daripada HUS Dr Alex Kim Ren Jye, Ketua Jabatan Radiologi HUS Dr Estrellita Elena Mohamad Tazuddin serta Ahli-Ahli EXCO SABATI yang lain. – EDISI UKAS