Kerajaan Sarawak Serius Indahkan Pantai Belawai

Disiarkan pada 30 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS


BELAWAI: Kerajaan Sarawak amat serius dalam membangunkan prasarana untuk mencantikkan Pantai Belawai yang merupakan salah satu pantai tercantik di kawasan tengah di negeri ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan secara berperingkat-peringkat semenjak tahun 2014 untuk membangunkan Pantai Belawai seperti yang telah ada sekarang.

"Saya ingin memaklumkan Pembangunan Pantai Belawai ini tidak terhenti setakat ini, yang terbaharu kerajaan telah meluluskan projek pembangunan/pembinaan pantai pelancongan di Belawai bernilai RM161 Juta.

“Apabila projek ini siap dilaksanakan, Pantai Belawai akan menjadi pantai yang cantik lengkap dengan pelbagai kemudahan dan mampu menarik lebih ramai pengunjung,” ujarnya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh di Majlis Penangguhan Pesta Belawai 2024 di Tapak Pesta, Pantai Belawai di sini pada Ahad.

Jelasnya, pembangunan kemudahan infrastruktur seperti perhubungan sistem jalan raya ke Daerah Tanjung Manis dan pembangunan Pantai Belawai menjadikan Pesta Belawai 2024 tumpuan pengunjung dari luar Daerah Tanjung Manis.

Sebelum itu dalam ucapan aluan, Ahli Parlimen Tanjong Manis Ir. Yusuf Abd Wahab berkata, beliau percaya masih banyak projek-projek seumpama ini yang telah diluluskan termasuk jambatan-jambatan seperti Jambatan Pasi yang menghubungkan Sarikei ke Tanjung Manis, Jambatan Batang Paloh, Jambatan Batang Lassa dan Jambatan Batang Igan akan memudahkan penduduk dari Mukah, Dalat, Matu dan Daro untuk sampai ke Daerah Tanjung Manis.

“Pembangunan Pantai Pelancongan Belawai akan memberikan tarikan yang terbaru kepada Pesta Belawai pada masa akan datang.

“Ianya akan dapat memberikan manfaat dalam menjanakan pendapatan di samping memperkenalkan produk-produk makanan tempatan dan kebudayaan di Daerah Tanjung Manis,” jelasnya. -EDISI UKAS