BELAWAI: Beberapa lokasi telah dikenal pasti untuk dijadikan kawasan perlindungan hidupan liar khususnya buaya di Sarawak.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh berkata, lokasi yang telah dikenal pasti adalah Kuching Wetlands, Pulau Seduku di Sri Aman, Rajang Mangrove National Park dan Sibuti.
“Selain dijadikan sebagai kawasan perlindungan buaya ianya juga boleh dijadikan sebagai satu industri perlancong bagi yang berminat untuk melihat dan menjalankan kajian berkaitan kitar hidup buaya,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penangguhan Pesta Belawai 2024 di Tapak Pesta, Pantai Belawai di sini pada Ahad.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang itu mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah memperkenalkan aplikasi ‘Sarawak Croc Watch’.
Difahamkan, Sarawak Forestry Corporation (SFC) telah membangunkan sebuah aplikasi mesra pengguna yang bertujuan untuk memudahkan orang ramai melakukan laporan penemuan buaya serta mendapatkan informasi terkini berkenaan penemuan buaya di Sarawak yang dikenali sebagai ‘Sarawak Croc Watch’.
Aplikasi tersebut mempunyai lima ciri utama iaitu Laporan Penemuan Buaya, Peta Umum Penemuan Buaya, ‘3M’ Buaya, Serangan Buaya dan Perhubungan.
‘Laporan Penemuan Buaya’ adalah platform digital untuk orang ramai membuat laporan mengenai penemuan buaya manakala ‘Peta Umum Penemuan Buaya’ memberikan orang ramai maklumat umum yang terkini dalam bentuk ‘hotspot’ berkenaan penemuan buaya.
Selain itu ciri 3M (Mengenali, Memahami & Memulihara) bertujuan memberi kesedaran dan maklumat konservasi kepada orang ramai melalui kaedah mengenali, memahami dan memulihara hidupan liar.
Ciri keempat ialah ‘Serangan Buaya’ yang berkongsi maklumat orang ramai berkenaan serangan buaya yang telah berlaku dan disahkan oleh pihak berkuasa.
Datuk Len berharap dengan adanya aplikasi ‘Sarawak Croc Watch’ ini, orang ramai boleh memuat turun dari Google Play Store dan menggunakannya untuk manfaat bersama.
Hadir sama pada majlis ialah Ahli Parlimen Tanjong Manis Ir Yusuf Abd Wahab, Residen Bahagian Mukah Kueh Lei Poh, Pengurus Besar Sarawak Forestry Corporation (SFC) Abang Arabi Abang Aimran, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS) Busiai Seman dan Pemangku Pegawai Daerah Tanjung Manis Ismail Kasah. -EDISI UKAS