Ahli Parlimen Selangau Puji Usaha Para Guru Libatkan Pelajar Dalam Kokurilum

Disiarkan pada 30 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS


TATAU: Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta memuji usaha para guru dalam program yang dilaksanakan di peringkat sekolah dalam meningkatkan prestasi pelajar dalam bidang kokurikulum.

Dalam ucapan ringkasnya, beliau berkata usaha yang ditonjolkan oleh semua pihak terutamanya guru-guru di sekolah menonjolkan lagi bakat para pelajar sekaligus menunjukkan prestasi yang membanggakan saban tahun.

“Saya bagi contoh pada tahun ini sahaja Pasukan Tandak Remang telah memenangi tempat kedua di peringkat Negeri dalam Karnival Kesenian ASAT (Anugerah Sri Asrama Terbilang), Pasukan Rugbi sekolah yang berjaya melahirkan anak-anak SMK Tatau yang mewakili negeri Sarawak ke peringkat SUKMA, pasukan sepak takraw sekolah yang telah memenangi pertandingan semasa Kejohanan MSSB dan banyak lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penangguhan Karnival Kokurikulum Perkhemahan Tahunan Unit Beruniform dan Program Sentuhan Kasih SMK Tatau 2024 baru-baru ini.

Dalam majlis tersebut turut diadakan majlis simbolik penyerahan 207 meja plastik dengan jumlah peruntukkan RM34,000 oleh Edwin kepada Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tatau, Dr Layang.

Selain itu beliau turut menyempurnakan simbolik penyerahan bantuan alat tulis kepada pelajar SMK Tatau yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Hadir sama Penolong PPD Sektor Pembangunan Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Tatau/Sebauh, Felicia Kiai.-EDISI UKAS