ADUN Tebedu Turun Padang Perangi Wabak Denggi

Disiarkan pada 19 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


TEBEDU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu Dr Simon Sinang Bada turun padang bersama-sama rakyat di kawasannya untuk memerangi wabak Denggi yang semakin merisaukan.

Program gotong-royong yang berlangsung di Kampung Sejijag anjuran Pejabat Kesihatan Bahagian Serian menyaksikan penglibatan wakil rakyat Tebedu bersama-sama memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes di sekitar kampung tersebut.

Menurut beliau, setiap orang harus memainkan peranan masing-masing dalam usaha mencegah pembiakan nyamuk Aedes di kawasan rumah amnya dan sekitar kampung khususnya. 

Tambah beliau lagi, penduduk kampung atau penghuni rumah wajib membuat pemeriksaan dan melakukan pembersihan sekurang-kurangnya seminggu sekali secara berterusan untuk mengelak pembiakan nyamuk Aedes di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, orang ramai yang mengalami simptom demam Denggi digesa untuk berjumpa doktor dengan kadar segera.

Hadir sama Pegawai Daerah Tebedu Joseph Liaw, Pegawai Kesihatan Bahagian Serian Edmund Shin, wakil Residen Bahagian Serian Wee Chung Yee, Ketua Kampung Sejijag Plaman Buwang Mangkeh dan Ketua Kampung Sejijag Kebuhu Anthony Bangu. -EDISI UKAS