Persidangan PALS Sarawak 2024, Pupuk Masyarakat Bertanggungjawab

Disiarkan pada 30 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Persidangan Kelab Pencinta Alam Sekitar (PALS) Sarawak 2024 telah berjaya menarik penyertaan seramai 104 pelajar dan 26 guru dari seluruh Sarawak.

Acara ini diadakan di Bintulu dengan tujuan utama untuk meningkatkan kesedaran tentang isu-isu alam sekitar dalam kalangan generasi muda.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee menyeru kepada semua peserta untuk mengambil langkah serta menjadi contoh kepada masyarakat umum amnya dalam memulakan langkah-langkah proaktif dalam penjagan alam sekitar.

"Setiap langkah kecil yang kita ambil, seperti mengurangkan penggunaan plastik dan menanam pokok, mampu memberi impak besar kepada alam sekitar kita.

"Marilah kita bersama-sama menjaga bumi kita untuk generasi akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Kelab Pencinta Alam Sekitar Peringkat Sarawak baru-baru ini.

Persidangan ini menawarkan pelbagai aktiviti yang bertujuan untuk mendidik dan menginspirasi para peserta.

Antaranya Pameran Inovasi Hijau yang memperkenalkan teknologi dan inovasi terkini yang mesra alam.

Selain itu, terdapat sesi perbincangan kesan perubahan iklim dan langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengurangkannya di mana pelajar-pelajar diberi peluang untuk mengemukakan idea-idea kreatif mereka untuk mempromosikan kelestarian alam sekitar.

Persidangan ini dianjurkan dengan kerjasama beberapa organisasi utama termasuk Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), Malaysia LNG (MLNG), ABF, OCIM, Press Metal dan Sarawak Energy.

Program ini juga mendapat sokongan penuh daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS).

Hadir sama Pemangku Timbalan Pengawal (Pengurusan) di Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak Rahmah Biak.-EDISI UKAS