MIRI: Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) wadah memperkasakan semangat perpaduan dalam kalangan pelajar di Sarawak.
Timbalan Menteri Perlancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata ia selaras dengan motto yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menghadiri Hari Perayaan Gawai Dayak iaitu ‘Segulai Sejalai’ yang membawa maksud Maju Bersama dalam menggerakkan perpaduan dan ekonomi Malaysia.
“Program RIMUP, inisiatif Kementerian Pendidikan, adalah bukti komitmen kami untuk memupuk perpaduan sosial.
"Melalui platform ini, kita menyaksikan bagaimana aktiviti yang dirancang dengan teliti dapat mengeratkan ikatan silaturahim dan saling menghormati dalam kalangan pelajar.
"Ia adalah langkah penting dalam memupuk generasi yang menghargai kepelbagaian dan berbakti untuk memelihara keamanan dan keharmonian dalam masyarakat kita,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi ucapan yang dibaca oleh wakilny, Chia Kah Furng pada Majlis Perasmian Program RIMUP Persatuan Guru Besar Malaysia Cawangan Miri Zon Piasau 2024 baru-baru ini.
Dalam pada itu, turut diadakan pameran serta aktiviti yang mencerminkan kekayaan budaya termasuklah persembahan tarian tradisional dengan kerjasama dan perpaduan.
Hadir sama Pengerusi Persatuan Guru Besar Malaysia Daerah Miri merangkap Guru Besar Sekolah Kebangsaan Senadin Ahmad Othman dan Pengerusi Persatuan Guru Besar Malaysia Daerah Miri Zon Piasau merangkap Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Miri.-EDISI UKAS