KOTA SAMARAHAN: Peranan KEMAS dalam memperkasakan seni dakwah di Sarawak amat penting.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Malaysia, Datuk Rubiah Wang berkata bahawa festival yang merangkumi cabang seni dakwah seperti pertandingan tilawah Al-Quran, nasyid, dan Da'i, mampu menarik minat remaja dan masyarakat untuk mendalami ajaran Islam sambil mempengaruhi gaya hidup ke arah yang lebih baik.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Penutupan Festival Kesenian Islam Sarawak 2024 di sini pada Ahad.
Ahli Parlimen Kota Samarahan itu turut mengucapkan tahniah kepada pihak KEMAS Sarawak atas penganjuran festival tersebut, yang menurutnya memberi impak positif kepada masyarakat desa.
Dalam majlis yang sama, Datuk Rubiah turut menyampaikan hadiah kepada para juara bagi setiap kategori yang akan mewakili Sarawak di Festival Kesenian Islam Peringkat Kebangsaan 2025.
Antara pemenang ialah Muhammad Syahrizan Sahmat bagi Johan Tilawah Al-Quran Lelaki (Zon 1) dan Norhasimah Marzuki sebagai Johan Tilawah Al-Quran Wanita (Zon 2). Ghaiazra Mohammad Ali pula memenangi Johan Da'i Lelaki (Zon 3), manakala Nur Umairah Abdullah dinobatkan sebagai Johan Da'i Wanita (Zon 3).
Bagi kategori Nasyid (Zon 5), Kumpulan Sri Ajmal muncul sebagai juara.
Dalam padai itu, beliau turut menyatakan bahawa KEMAS Sarawak kini mempunyai 2,416 peserta yang terlibat dalam 113 kelas Pembangunan Insan, dibantu oleh 14 penyelia dan 22 Pemaju Masyarakat.
Ini membuktikan bahawa KEMAS masih relevan dalam menyediakan pendidikan non-formal kepada masyarakat desa, khususnya dalam bidang pembangunan Islam dan kemasyarakatan.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Pembangunan) KEMAS Malaysia, Rafea'ah Nahar, dan Pengarah KEMAS Negeri Sarawak, Anisah Saidin.-EDISI UKAS