Perarakan Gawai Dayak Negeri Sarawak 2024 Tampilkan Kontinjen Dari Sabah

Disiarkan pada 19 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Perarakan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2024 menampilkan kelainannya sendiri apabila turut disertai oleh kontinjen daripada Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Cawangan Sarawak.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Perarakan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2024 Billy Sujang memberitahu, penglibatan kaum Kadazan Dusun yang terdiri daripada rakyat Sabah yang bekerja di negeri ini akan memeriahkan lagi sambutan Gawai Dayak 2024.

“Kelainan pada tahun ini berbanding penganjurannya pada tahun lepas ialah kita tampilkan penglibatan KDCA di mana anak-anak Sabah yang bekerja di Sarawak turut dijemput dalam perarakan ini,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan daripada Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan program tersebut di sini pada pagi Jumaat.

Antara pengisian menarik yang turut diselitkan dalam perarakan itu nanti ialah penampilan khas ‘The Bidayuh Ring Ladies’ yang turut dijemput sama memeriahkan lagi acara itu nanti.

“Di samping itu juga, akan ada persembahan, perarakan, kereta-kereta berhias, perarakan yang menampilkan ratu cantik  dari Sarawak serta barisan Unduk Ngadau daripada rakyat Sabah,” jelas beliau lagi.

Billy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar memberitahu, jumlah sasaran kontinjen yang akan mengambil tempat dalam perarakan ini nanti adalah sebanyak 105 kontinjen dengan 3,150 jumlah peserta yang terdiri daripada 12 kumpulan kebudayaan utama di Sarawak.

Untuk rekod, Perarakan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2024 yang berlangsung pada 15 Jun depan akan mengambil tempat bermula di Bangunan Tun Jugah dan berakhir di Waterfront Kuching dengan jarak sepanjang 1.28 kilometer.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dijangka menyempurnakan perasmian acara itu dan diiringi Timbalannya Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Gawai 2024 iaitu Dato Sri Roland Sagah Wee Inn. -EDISI UKAS