Kaum Orang Ulu Diseru Kemaskini Alamat Dalam Kad Pengenalan

Posted on 30 Sep 2024
Source of News: UKAS


TELANG USAN: Para pengundi khususnya kaum Orang Ulu di Miri diseru untuk mengemaskini alamat di dalam kad pengenalan mereka bagi memudahkan proses pengundian di kemudian hari.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dato Dennis Ngau menyeru agar lebih ramai para pengundi berbangsa Orang Ulu mengemaskini alamat agar mereka boleh menukar tempat mengundi ke tempat masing-masing di Baram ataupun di Telang Usan.

”Kita tahu ramai Orang Ulu berada di bandar Miri seperti di Tudan dan Senadin.

"Kalau boleh, tuan-tuan baliklah mengundi di kampung masing-masing,” ujar beliau dalam Program Hari Keluarga PBB Ranting Apoh bertempat di Piasau Boat Club, Miri pada Sabtu.

Untuk makluman, ahli PBB Ranting Apoh kali ini menghimpunkan sekitar 200 orang yang kebanyakannya dari Kampung Long Bemang, Kampung Long Wat, Kampung Long Bedian dan Kampung Long Atip.

Hadir sama Pemanca Nawan Luhat, Penghulu Ngau Jok Kaunselor Robert Oyo, Ketua Kampung Nawan Lihan dan Ketua Kampung Leslie Lah. -EDISI UKAS