Majlis Sambutan Aidilfitri UNIMAS 2024 Berlangsung Meriah

Disiarkan pada 19 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Bertepatan dengan tema ‘Raya @ Samarahan’, Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) 2024 berlangsung meriah di lobi Dewan Banquet, DeTAR Putra pada Jumaat.

Hadir menyempurnakan majlis tersebut ialah Naib Canselor UNIMAS, Professor Dr Ahmad Hata Rasit.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Tan Sri Datuk Panglima Sulong Matjeraie, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UNIMAS Prof Ir Ts Dr Al-Khalid Othman, Ahli Lembaga Pengarah dan warga kerja UNIMAS.

Professor Dr Ahmad Hata dalam ucapan aluannya memberitahu, Majlis Rumah Terbuka itu merupakan acara yang diadakan bagi meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri setiap tahun menggabungkan semua gabungan Pusat Tanggungjawab di UNIMAS.

Menurutnya, tema 'Raya @ Samarahan' dipilih bagi memberi ruang kepada semua warga UNIMAS merasai pengalaman beraya dengan pelbagai kampung-kampung yang terdapat di Kota Samarahan di samping merapatkan lagi silaturahim dan semangat keakraban sesama warga UNIMAS dalam menyambut kemeriahan Aidilfitri.

Dalam pada itu, beliau berharap dengan kemeriahan sambutan pada hari ini, semua warga UNIMAS mengambil kesempatan untuk mengeratkan silaturahim agar semangat kekeluargaan dan perpaduan UNIMAS sentiasa terpelihara selari dengan keharmonian negeri Sarawak yang dinikmati hari ini tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.

Dalam pada itu, sebanyak 33 kampung (khemah juadah raya) gabungan Pusat Tanggungjawab di UNIMAS mewakili kampung yang terdapat di Kota Samarahan bertanding menghias rumah terbuka masing-masing berdasarkan tema, dekorasi, budaya dan menu pilihan.

Ia bersesuaian dengan tema majlis bagi mewujudkan suasana Aidilfitri seperti lazimnya di kampung yang masih mengutamakan menu tradisional seperti nasi rendang daging, satay, kuih tradisional dan banyak lagi.

Turut menghiburkan tetamu yang hadir ialah Persembahan Lagu Karaoke Raya oleh staff-staff UNIMAS. -EDISI UKAS