KAPIT: Meskipun pembangunan yang agak lambat, namun rancangan sedia ada di Kapit tidak harus dinafikan bagi meningkatkan perubahan landskap berbanding sebelum ini.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi memberitahu, apa yang diperlukan di Kapit kini adalah pembangunan yang akan melengkapi kemudahan infrastruktur sedia ada agar penduduk terus menikmati keselesaan seperti di kawasan lain.
Menyentuh mengenai pembangunan sedia ada, beberapa kawasan yang dihubungkan dengan pengangkutan bot dan feri perlu dilengkap jaringan jalan raya.
Justeru katanya, satu jalan baharu dari Samaram ke Kapit dengan jarak sejauh 72 kilometer perlu dipertimbangkan untuk menghubungkan jalan sedia ada.
“Sebaik sahaja kita dapat siapkan jalan yang sedia ada, operasi feri dan bot akan terhenti dan akan mengakibatkan masyarakat di kawasan seberang terputus kaedah perhubungan,” jelas beliau lagi.
Hadir sama dalam Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Komuniti Daerah Kapit pada Ahad itu ialah Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Ahli Perlimen Kapit itu menambah, antara infrastruktur lain yang perlu mendapat perhatian selain jaringan pengangkutan adalah bekalan air bersih, telekomunikasi dan bekalan elektrik 24 jam.
Hal ini kerana jelasnya, pembangunan terdahulu lebih memfokuskan kepada pembangunan di kawasan perindustrian sehingga pembangunan di kawasan luar bandar terpinggir malah ada yang tertangguh.
Turut serta dalam program berkenaan ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak dan Persekutuan, ADUN-ADUN di bawah Parlimen Kapit, Tan Sri Leonard Linggi Jugah serta barisan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK). -EDISI UKAS