Produk ABAS Dominasi Arena Tenpin Boling Negara

Disiarkan pada 29 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS

Sunny Si (tengah) bersama kakitangannya dan para atlet bergambar bersama.



KUCHING: Program pembangunan akar umbi bersistematik yang disokong oleh barisan kepimpinan dan jurulatih berdedikasi menjadi kunci kepada kejayaan Persatuan Tenpin Boling Amatur Sarawak (ABAS) mendominasi sukan itu di negara ini.
 
Selama lebih tiga dekad, ABAS gigih mentransformasikan Sarawak sebagai gergasi sukan tenpin boling hingga disegani bukan sahaja dalam negara malah di peringkat dunia.
 
SUKMA Ke-21 lalu menyaksikan atlet Sarawak sekali lagi membuktikan penguasaan apabila berjaya mengekalkan gelaran juara keseluruhan buat kali kelima berturut-turut dengan merangkul lima pingat emas, satu perak dan dua gangsa.
 
Untuk rekod, kali pertama Sarawak memenangi SUKMA pada edisi 2010 di Melaka dengan kutipan 7 pingat emas, disusuli lima edisi berturut-turut bermula di Perlis pada 2014, Sarawak (2016), Perak (2018), Kuala Lumpur (2022) dan Sarawak (2024).
 
Selain memenangi SUKMA sebanyak enam kali, skuad tenpin boling Sarawak juga cemerlang dalam kejohanan peringkat kebangsaan mahupun dunia yang lain.
 
Bukan itu sahaja, ABAS ibarat ‘kilang pengeluar’ atlet negara apabila berjaya melahirkan ramai atlet kebangsaan.
 
Namun kemuncak kepada rekod cemerlang ABAS pastinya kejayaan mereka melahirkan tiga atlet yang memenangi kejohanan peringkat dunia.
 
Jonathan Lim memenangi kejohanan Piala Dunia Berpasukan di Odense, Denmark pada 2003, disusuli kejayaan Jacqueline Jenelee Sijore menjuarai Kejohanan Wanita Dunia 2011 (WWC 2011) di Hong Kong pada 2011.
 
Dan pada Julai 2024, giliran Nur Hazirah Ramli memenangi Kejohanan Remaja Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) di Stadium Fiesta Asiad Bowling Icheon, Korea Selatan.
 
Malah ramai lagi atlet berbakat lahir dari program pembangunan ABAS seperti Nerosha Keligit, Gillian Lim dan ramai lagi.
 

Gambar fail semasa Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bersama Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu (tiga kiri), Sunny Si (dua kiri) dan hadirin lain semasa mengumumkan Cabaran Tenpin Boling Terbuka Antarabangsa Sarawak 2024 pada 31 Mei lepas.



Penubuhan ABAS
 
ABAS ditubuhkan pada 1988 oleh dua figura penting, Sunny Si Poh Heng selaku Presiden dan Robert Lu Nam Min sebagai Naib Presiden.
 
Kedua-dua rakan baik itu yang juga peminat tegar sukan tenpin boling telah membawa ABAS mengharungi pelbagai ranjau cabaran di awal penubuhannya sebelum menuai hasil lumayan seperti yang kita lihat hari ini.
 
Sambil dibantu barisan jurulatih dan petugas yang komited, mereka telah mencorakkan wajah sukan tenpin boling di negeri ini malah di Malaysia.
 
“Saya ingin mendedikasikan kejayaan kita ini kepada Allahyarham Tok Nan, Allahyarham Datuk Taha Ariffin dan Peter Yap dari Kongres Tenpin Boling Malaysia.
 
“Mereka inilah yang memainkan peranan secara instrumental, yang memberikan kita keyakinan dan motivasi untuk merealisasikan impian ini.
 
“Ia mengubahnya kepada realiti semasa SUKMA termasuk pertandingan lain seperti Remaja ASEAN, Terbuka Malaysia dan kejohanan besar yang lain,” menurut Sunny Si semasa ditemubual baru-baru ini.


Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu (lima kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak Awang Putrayusrie Awang Redzuan (tiga kanan) bergambar bersama atlet tenpin boling SUKMA XXI Sarawak.


Program Pembangunan
 
Kejayaan ABAS hari ini tidak akan tercapai tanpa pelaksanaan program pembangunan di peringkat akar umbi secara berterusan dan berkesan.
 
Menurut Sunny, ABAS menerapkan program pembangunan peringkat akar umbi bermula sejak usia 6 hingga 7 tahun.
 
Beliau percaya, Sarawak mempunyai ramai bakat semulajadi dalam sukan itu namun perlu dididik sejak usia muda agar mampu mencapai kejayaan di peringkat yang lebih tinggi apabila mencapai dewasa.
 
“Kamu tidak mungkin dapat melahirkan pemain yang berbakat dalam tempoh satu hari. Jadi kita mula melatih mereka pada usia muda dan ia adalah asas kepada program pembangunan kita.
 
“Ia berfungsi apabila pemain itu mula mempamerkan kepakaran dan mampu bersaing apabila mereka semakin dewasa.
 
“Apabila usia mereka mencecah 13 hingga 14 tahun, mereka boleh bertanding di kejohanan yang lebih besar dan SUKMA salah satu daripadanya,” katanya.


Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bercakap bersama Sunny Si semasa meninjau persiapan akhir Megalanes Sarawak sebagai tuan rumah SUKMA XXI 2024.


Fasiliti Sukan Berkualiti
 
Tidak dinafikan, fasiliti tenpin boling Megalanes Sarawak Batu Kawah menjadi penyumbang utama kepada kejayaan ABAS melahirkan atlet bertaraf dunia.
 
Dibina dengan kos sekitar RM19 juta pada 2016, Megalanes Sarawak Batu Kawah diiktiraf antara fasiliti tenpin boling bertaraf antarabangsa di rantau Asia.
 
Pusat tenpin boling dengan 42 lorong itu satu-satunya fasiliti yang dilengkapi dengan teknologi digital terkini di semua lorong untuk memberikan pengalaman permainan yang lebih mencabar dan menarik.
 
Malah Kerajaan Sarawak juga sudah berkira untuk menganjurkan sukan itu pada temasya Sukan SEA 2027 di venue tersebut.
 
“Ya sudah tentu fasiliti di sini di Megalanes Sarawak banyak membantu dan menyumbang besar terhadap pembangunan sukan tenpin boling di Sarawak.
 
“Tanpa fasiliti seperti ini, pemain kita tidak akan dapat berpeluang untuk merasai pengalaman bermain di pelbagai keadaan lorong yang mencabar.”
 
“Kita juga fokus terhadap pembangunan selari iaitu selain mempunyai pemain yang baik dan jurulatih yang baik, kita juga mesti mempunyai petugas teknikal yang berpengetahuan.
 
“Mereka yang meyelenggara dan memasang minyak terhadap lorong dan bola, mereka yang tahu bagaimana untuk mengendalikan mesin minyak lorong dan menyediakan corak yang berbeza pada lorong,” kongsinya lagi.
 
Menurut Sunny Si lagi, petugas teknikal ini juga menyampaikan pengetahuan mereka kepada pemain malah menasihati dan memperbetulkan permainan mereka apabila berdepan keadaan lorong yang mencabar.
 
Ini memberikan keyakinan kepada pemain bahawa mereka tidak berseorangan di lorong dan menyuntik semangat mereka untuk beraksi dengan lebih baik lagi.
 

Jurulatih tenpin boling Sarawak Angelo Koay (dua kanan) fokus melihat atletnya menjalani latihan.



Perancangan ABAS
 
Sekalipun telah mengecapi pelbagai kejayaan, ABAS enggan mendabik dada, sebaliknya mahu mengatasi kelemahan yang masih ada untuk memastikan sukan tenpin boling Sarawak kekal dominan di negara ini.
 
Dengan karakter sukan tenpin boling yang semakin berevolusi setiap masa, ABAS perlu tampil dengan perancangan yang diubahsuai dengan kehendak semasa.
 
“Kita perlu mengambil kira keadaan sukan ini yang berevolusi, jenis minyak, corak, jenis bola, teknologi baru untuk menganalisis prestasi atlet, kaedah kejurulatihan baru, teknik dan sebagainya.
 
“Semua ini akan dimasukkan dalam perancangan kita dan perancangan ini harus fleksibel. Kita perlu mengambil kira perubahan dan situasi semasa,” ujar Sunny Si sambil menambah ABAS juga melihat keupayaan negeri dan negara lain sebagai ‘benchmark’ kepada atlet-atletnya.
 
Dasar ABAS yang sentiasa meletakkan sasaran yang lebih tinggi menjadikan atlet-atlet Sarawak sentiasa dijadikan kayu pengukur oleh negeri-negeri lain.
 
“Sudah tentu kita meliha saingan dari negeri lain di Semenanjung Malaysia dan Sabah. Tapi kita juga melihat kepada Singapura, Thailand, Jepun dan Korea.
 
“Di arena antarabangsa dan kita bandingkan pencapaian kita dengan mereka. Kerana itu atlet remaja Korea dan Jepun turut datang ke sini dan berlatih bersama atlet kita.
 
“Hanya dengan cara ini kita dapat menilai kemampuan atlet kita berbanding pemain terbaik dari negara luar di Asia,” katanya menutup temubual. - EDISI UKAS