Pembangunan Ekonomi Wanita Muara Tuang Anjur Majlis Zikir Wanita & Ceramah Agama Sempena Sambutan Maulidur Rasul

Disiarkan pada 29 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Pembangunan Ekonomi Wanita Muara Tuang telah menganjurkan Majlis Zikir Wanita dan Ceramah Agama Sempena Sambutan Maulidur Rasul 2024 di Masjid Al-Ikhlas Kampung Sindang Baru di sini pada Sabtu.

Program bermula seawal jam 8 pagi itu menghimpunkan seramai 100 hadirin terdiri daripada 12 kumpulan zikir dari Kampung Muara Tuang, Kampung Tanjung Bundong, Kampung Tanjung Bundong Lot Fasa 1,2, dan 3, Taman Desa Ilmu, Kampung Meranek, Kampung Endap, Kampung Tanah Putih, Kampung Pinang, Kampung Tanjung Tuang, Kampung Baru, Kampung Bukit Berangan dan Kampung Asajaya.

Majlis diserikan lagi dengan ceramah bertajuk Memperingati Rasulullah SAW Tauladan Sepanjang Zaman disampaikan oleh Pengerusi HIKMAH Ranting Kuching merangkap Ahli Majlis Tertinggi HIKMAH Ustaz Zamri Mohamad.

Zikir dan selawat ke atas Rasulullah SAW turut menjadi halwa telinga hadirin yang dipimpin oleh kumpulan zikir dari Kampung Muara Tuang.

Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak merangkap ADUN Muara Tuang Dato' Idris Buang.

Menurut beliau, majlis itu dianjur bagi menyuburkan rasa cinta dan kasih terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan menzahirkan syiar Islam.

Selain itu, ia bertujuan menguatkan semangat perpaduan dan silaturahim dalam kalangan pertubuhan wanita Islam dan masyarakat setempat.

Hadir sama, isteri kepada Dato' Idris iaitu Datin Nurhidayah Hussain, Pengerusi Pembangunan Ekonomi Wanita Muara Tuang Suraya Muhuidin, Ketua Kaum Kampung Sindang Hilir Padil Hajimi dan Ketua Marqas Operasi DUN Muara Tuang Aziz Mohamad.-EDISI UKAS