60 Organisasi Di Samarahan Terima Geran MRP Berjumlah RM510,000

Disiarkan pada 29 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 60 organisasi terdiri daripada persatuan dan kelab di Bahagian Samarahan menerima geran projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM510,000 sempena Program Samarahan Prihatin 2024 pada Sabtu.

Program yang diadakan di Dewan Sri Samarahan Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak, Kota Samarahan itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan berkata, geran yang diberikan itu bertujuan bagi membantu organisasi terbabit menjalankan aktiviti termasuk program dalam meningkatkan penglibatan masyarakat di kawasan berkenaan.

Justeru, beliau berharap dengan adanya peruntukan tersebut, ia dapat memberi kemudahan dan keselesaan dalam melakukan aktiviti program di kawasan masing-masing.

"Saya juga menyeru agar semua penerim menggunakan dana yang disalurkan oleh kerajaan dengan sebaik mungkin.

"Ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan rakyat terutama dalam sesebuah organisasi yang memerlukan dana bagi penganjuran aktiviti demi manfaat kepada rakyat," katanya.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan Insentif Pelajar Cemerlang STPM 2023 berjumlah RM43,000 kepada 86 orang pelajar yang mendapat keputusan cemerlang melibatkan empat sekolah Tingkatan 6 iaitu SMK Asajaya, SMK Wira Penrissen, SMK Muara Tuang dan SMK Kota Samarahan.

Selain itu turut disampaikan sumbangan pendidikan bagi mereka yang dapat melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi berjumlah RM32,000 kepada 232 orang pelajar.

Hadir sama Timbalan Residen Bahagian Samarahan Rais Ahmat, Pegawai Daerah Samarahan Ahmad Abdul Razak, Pegawai Pendidikan Daerah Samarahan Awang Hapeni Awang Onget dan Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak Yahya Sidek. -EDISI UKAS