Loji Rawatan Air Maludam Mula Beroperasi Hujung Oktober Ini

Disiarkan pada 29 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS


PUSA: Loji Rawatan Air Maludam, Pusa bakal menambah baik sistem bekalan air ke kawasan Beladin apabila ia mula beroperasi kelak.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata projek bernilai RM25.4 juta itu kini dalam fasa akhir dan dijangka siap pada hujung Oktober ini.

Katanya, loji ‘Acute System’ berkapasiti 5 Juta Liter sehari itu turut mencakupi pemasangan saluran paip baharu dari loji ke stesen pam penggalak Spinang.

“Ia akan memberi manfaat yang besar kepada lebih kurang 6,330 orang pelanggan (sedia ada) JBALB di kawasan Beladin, Pusa.

“Maludam merupakan kawasan yang mempunyai sumber air yang banyak, oleh sebab Itu wajarlah loji tersebut dibuat di kawasan Maludam untuk menampung bekalan air untuk kawasan sekitarnya khususnya kampung Beladin.

“Usaha untuk menambahbaik loji ini, ianya akan meningkatkan pengaliran air di kawasan ini dengan baik,” katanya semasa mengadakan lawatan ke loji rawatan air itu pada Sabtu.

Katanya, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) akan berusaha untuk menaiktaraf loji kawasan Kaki Wong, Saratok dan menaik taraf loji kawasan Lubau, Betong untuk membekalkan air ke seluruh Bahagian Betong.

Menurutnya, beliau berharap agar semua kawasan tidak mempunyai masalah air lagi sambil menegaskan paip yang sudah uzur atau lama perlu diganti dengan yang baharu.

Dalam hal ini katanya, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) perlu memainkan peranan penting serta memantau jika ada pemasangan paip yang baharu nanti.
“Kerajaan Sarawak sentiasa berusaha untuk menyediakan pasarana yang baik, kemudahan untuk kegunaan bersama demi kesejahteraan rakyat di Sarawak.

“Premier Sarawak bekerja keras untuk mencari dana untuk membangunkan Sarawak khususnya di kawasan Batang Lupar.
Terdapat beberapa jambatan yang akan siap dan kesemuanya menggunakan duit kerajaan Sarawak sendiri.”

Tegas Dato Sri Julaihi lagi, beliau sendiri akan turut turun padang untuk memastikan projek di bawah Utiliti dan Telekomunikasi berjalan dengan baik dan lancar.

Turut hadir Ahli Parlimen Betong Dr Richard Rapu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor dan Pengarah JBALB Sarawak, Awang Mohammad Fadillah Awang Redzuan. - EDISI UKAS