Pupuk Semangat Cintai Alam Sekitar Untuk Masa Hadapan

Disiarkan pada 29 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS



SERIAN: Masyarakat Sarawak harus memupuk semangat mencintai alam sekitar serta menjaga kebersihannya untuk memastikan kesejahteraan masa hadapan.

 

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Martin Ben berkata, sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2024 bertemakan ‘Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama’ bertujuan meraikan semangat kecintaan kepada alam sekitar untuk seluruh masyarakat.

 

”Tema sambutan mengingatkan kita bahawa alam sekitar bukanlah milik segelintir pihak atau tanggungjawab individu tertentu sahaja, tetapi milik kita semua. 

 

“Oleh itu setiap orang daripada kita memainkan peranan penting dalam memelihara  dan melindungi anugerah yang berharga ini. 

 

“Kita mesti ingat bahawa setiap langkah dan tindakan kita terhadap alam sekitar akan membawa kesan sama ada positif mahupun negatif,” katanya.

 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penangguhan Program Komuniti Pencegahan dan Pemantauan Kebakaran Tanah Gambut Sempena Hari Alam Sekitar Negara 2024 di Kampung Terbat Leban di sini pada Sabtu.

 

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup itu turut menyentuh mengenai ancaman dan kesan pencemaran alam sekitar dari pembakaran terbuka, pencemaran udara dan sungai serta pembuangan sampah secara tidak bertanggungjawab.  

 

Beliau menyeru semua masyarakat mesti bersatu dan bekerjasama dalam menjaga alam sekitar kerana alam sekitar yang terpelihara bukan hanya menjamin kesejahteraan hari ini tetapi juga masa depan anak-anak.

 

Hadir sama, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Sarawak John Rampai, wakil Residen Bahagian Serian Esther Najoh, Pegawai Daerah Tebedu Gerald George Entigar, wakil Pegawai Pendidikan Daerah Serian Jeffery Tikok dan Pemanca Ayahanda Kane Manong. -EDISI UKAS