Kerajaan Sarawak Usaha Lengkapkan Sekolah Luar Bandar

Disiarkan pada 29 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS



SERIAN: Kerajaan Sarawak berusaha melengkapkan sekolah di kawasan luar bandar dengan kemudahan yang diperlukan untuk merapatkan jurang pembelajaraan.

 

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Martin Ben berkata, penyediaan kemudahan yang cukup baik di SK Mapu tidak jauh beza dengan apa yang terdapat di sekolah di bandar.

 

“Kemudahan tidak lagi menjadi halangan kepada guru dan murid-murid meningkatkan pencapaian prestasi pembelajaran dan penguasaan teknologi digital walaupun berada di luar bandar,” ujarnya.

 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Mini Karnival SK Mapu 2024 di Kampung Mapu Sadong di sini pada Jumaat. 

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup itu menambah, ibu bapa tidak seharusnya meletakkan usaha mendidik kepada guru semata-mata dan harus sama-sama memberikan perhatian dan sokongan terhadap kemajuan pendidikan anak-anak di sekolah.  

 

Beliau juga berharap agar ibu bapa juga melibatkan diri dengan segala program yang dianjurkan oleh pihak sekolah untuk menjalin kerjasama antara ibu bapa dan guru sekaligus memberi ruang bagi ibu bapa memantau kemajuan pendidikan anak-anak mereka.

 

Dalam majlis sama, Datuk Martin telah menyerahkan cek berjumlah RM12,000 kepada Guru Besar SK Mapu Gloria Olin Noah bagi pembayaran pemasangan dan caj bulanan pakej internet kelajuan tinggi Starlink.  

 

Beliau juga mengumumkan dana sejumlah RM15,000 pada tahun 2025 akan disalurkan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut untuk mengadakan aktiviti dan menjalankan urusan.

 

Difahamkan, Mini Karnival SK Mapu diisi dengan pelbagai aktiviti seperti sukaneka, pertandingan melukis, karaoke dan pertandingan Ratu Kebaya. 

 

Acara kemuncak karnival ialah Pertandingan Ratu Kebaya di mana pemenang telah menerima trofi, produk kecantikan dan wang tunai tempat pertama sebanyak RM200, tempat kedua RM150 dan tempat ketiga RM100.

 

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Serian Bunsie Tunton, wakil Pegawai Daerah Tebedu Angela Thomas, Timbalan Pengerusi Persatuan Guru Besar Malaysia Cawangan Serian merangkap Guru Besar SK Parun Suan Nebin Nasa dan Pengerusi Persatuan Guru Besar Zon Kedup merangkap Guru Besar SK St Raymond Mujat John Salang Bana. -EDISI UKAS