SEBUYAU: Seramai 35 pelajar daripada pelbagai institusi pendidikan telah menerima insentif pendidikan berjumlah RM16,300 pada Sabtu.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi telah menyampaikan insentif tersebut kepada para penerima terdiri dari 28 orang mahasiswa sarjana muda, tujuh penerima diploma serta satu penerima Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Setiap penerima insentif untuk program sarjana muda mendapatkan sebanyak RM500, mahasiswa diploma menerima RM300 dan pelajar STPM menerima RM200.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu berkata, pemberian ini secara tidak langsung turut menyedarkan para pelajar bahawa usaha mereka memburu kejayaan sentiasa disokong.
“Insentif ini bertujuan untuk meringankan beban biaya pendidikan serta mendorong semangat para pelajar untuk terus berprestasi dan memberikan motivasi tambahan untuk mencapai cita-cita mereka dan membangun masa depan yang lebih baik.
“Dengan adanya program ini, saya berharap dapat terus mendukung generasi muda dalam mengejar pendidikan tinggi, khususnya di daerah-daerah luar bandar,” ujarnya.
Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak Ir Ts Awg Mohamad Fadillah Awg Redzuan, wakil Pegawai Daerah Sebuyau Tahir Putih dan Penghulu Abu Seman Suhaili. -EDISI UKAS