Kerajaan Terus Komited Jaga Kebajikan Rakyat

Disiarkan pada 19 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kerajaan terus berusaha menyalurkan bantuan bagi menjaga kebajikan dan meringankan beban rakyat di negara ini khususnya yang dilanda musibah.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato' Sri Nancy Shukri berkata, terdapat bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mangsa yang dibaham atau diserang binatang buas.

"Tadi kita telah sediakan bantuan secara 'ad-hoc' sahaja untuk mereka membeli makanan dan minuman.

"Tetapi kalau sudah dijumpai nanti memang akan ada lagi bantuan untuk mangsa yang diserang binatang buas, memang ada di bawah Jabatan Kebajikan, setelah selesai semuanyalah," katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui media setelah melawat kawasan Mencari dan Menyelamat (SAR) warga emas yang dipercayai hilang akibat dibaham buaya di Sungai Rayu Lundu di sini pada Jumaat.

Difahamkan, pelbagai agensi terlibat termasuk dibantu warga setempat menyelusuri sungai-sungai kecil bagi memperluaskan usaha mencari mangsa berusia 76 tahun yang telah hilang sejak Rabu lepas.

Dalam perkembangan lain, Dato Sri Nancy menambah, kerajaan Perpaduan kini sedang mempertimbangkan perancangan untuk memberi peruntukan kepada pihak pembangkang.

"Hal itu sudah lama dibincangkan bersama, cuma mekanismenya, kerana pihak pembangkang telah diminta untuk berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri Dato' Sri Fadillah Yusof.

"Kini sedang menunggu mereka untuk memberi tawaran, jadi saya rasa itu bukan menjadi masalah namun mereka perlu mematuhi apa yang dikehendaki oleh kerajaan Perpaduan," tambahnya.

Hadir sama, Pegawai Medan Operasi Inspektor Benjamin Annau Kalom, Timbalan Komando Operasi SAR Latif Iring, Pegawai MyASPA (Operasi) Staf Muda Mohd Nor Juli. -EDISI UKAS