KUCHING: Penyakit kardiovaskular merupakan penyakit utama di Malaysia serta di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian memberitahu, seramai 245,000 pesakit melalui Pusat Jantung Sarawak selama 20 tahun yang lalu dan angka tersebut dijangka naik pada masa hadapan.
“Ingat bahawa hanya ada satu hari dalam setahun di mana kita mesti memberitahu semua orang untuk mencintai jantung sendiri.
“Kita juga harus sayangi keluarga dan rakan kita, kerana kita tidak mahu kehilangan orang kepada penyakit jantung,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Hari Jantung Sedunia 2024 di Taman Perpaduan di sini pada Ahad.
Menurutnya, pesakit yang mengalami penyakit kardiovaskular di Malaysia adalah 10 tahun lebih muda daripada pesakit di negara maju akibat peningkatan kadar prevalens hipertensi, diabetes dan kolesterol tinggi.
Hari Jantung Sedunia pada tahun ini bertemakan ‘Use Heart for Action’ yang bertujuan memberi tumpuan kepada memotivasikan setiap negara untuk mempunyai pelan tindakan kebangsaan bagi penyakit kardiovaskular.
Seramai 1,000 peserta telah menyertai program tersebut yang bermula seawal jam 6:30 pagi dengan pelbagai aktiviti seperti Walk-A-Mile, pemeriksaan kesihatan, ujian kecergasan dan zumba.
Turut hadir ialah isteri kepada Datuk Amar Dr Sim, Datin Amar Enn Ong Siok Ean dan Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Hilmy Othman. -EDISI UKAS