PSS Rancang Tubuh Pusat Latihan Berpusat Di Tiga Zon

Disiarkan pada 28 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Persatuan Sepak Takraw Negeri Sarawak (PSS) merancang untuk menubuhkan pusat latihan berpusat secara zon di tiga bahagian di negeri ini sebagai usaha untuk mentransformasikan sukan itu di Sarawak.

Presiden PSS, Dato Ismail Abang Saufi berkata perancangan itu merupakan usaha jangka panjang persatuan untuk memantapkan mutu sukan itu di masa akan datang.

Katanya, tiga lokasi yang dikenalpasti adalah di Kuching untuk Zon Selatan, Sibu untuk Zon Tengah dan Miri untuk Zon Utara.

“Satu cabaran utama kita adalah geografi Sarawak yang besar. Pemain yang kita pilih bukan sahaja dari satu tempat, dari seluruh negeri.

“Untuk menyatukan mereka di satu tempat agak sukar kerana pemain-pemain ada yang 14 tahun, 16 tahun, bukan senang. Kadang-kadang kekangan dari ibu bapa mereka.

“Justeru, kita bercadang untuk mengadakan latihan berpusat secara zon iaitu di Kuching untuk Zon Selatan, mungkin di Sibu untuk Zon Tengah dan di Miri untuk Zon Utara.

“Dengan kaedah ini, para pemain khususnya yang masih bersekolah masih boleh meneruskan persekolahan seperti biasa sambil menjalani latihan secara intensif.”

Beliau berkata demikian ketika ditemubual selepas Mesyuarat Agung Dwitahunan & Pemilihan Exco Persatuan Sepak Takraw Negeri Sarawak (PSS) 2024/2025 di Kuching pada Sabtu.

Katanya, di setiap zon itu nanti akan dilantik Pengerusi Jawatankuasa di mana mereka nanti akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Induk untuk membantu atlet yang tidak bekerja untuk mendapatkan pekerjaan bagi membolehkan mereka fokus dengan latihan.

Bagi mereka yang masih bersekolah, katanya jawatankuasa ini akan membantu memindahkan atlet yang berpotensi di sekolah yang terletak berdekatan dengan pusat latihan.

Menyentuh perkara lain, beliau berkata PSS bercadang untuk menganjurkan kejohanan sepak takraw Piala Borneo pada tahun hadapan sebagai meraikan ulangtahun ke-60 penubuhan persatuan itu.

“Kita mahu meraikan sambutan ulang tahun Ke-60 PSS dengan menganjurkan kejohanan berprestij.

“Cadangan kita untuk menganjurkan Piala Borneo yang melibatkan Sarawak, Sabah, Labuan, Negara Brunei dan beberapa provinsi di Kalimantan,” katanya sambil menambah cadangan tarikh kejohanan tersebut diadakan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun depan.

Terdahulu, beliau merakamkan setinggi penghargaan kepada semua ahli gabungan atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk terus menerajui tampuk kepimpinan PSS bagi penggal baharu.

"Kerjasama daripada anda semua amat diharapkan bagi memastikan pelaksanaan program PSS yang telah dirancang berjalan lancar sepenuhnya," katanya semasa berucap.

Dato Ismail mengekalkan kerusi Presiden PSS selepas dicalonkan semula dan menang tanpa bertanding.

Jawatan Timbalan Presiden menyaksikan muka baharu iaitu Mohamad Nizam Wang yang turut menang tanpa bertanding.

Sementara itu, dua jawatan Naib Presiden PSS disandang oleh Idris Alfonso De Rozario dari Sibu yang berjaya memperoleh 23 undi dan Shaukat Khan Ishtiaq Hussain Khan dari Kuching dengan 22 undi. - EDISI UKAS