KUCHING: Kem Para Lawn Bowls Sarawak membutirkan enam pingat kepada kontinjen tuan rumah dalam aksi kemuncak perlawanan acara tersebut yang berlangsung di Arena Lawn Bowls Sarawak, Petra Jaya pada Sabtu.
Secara keseluruhannya pasukan itu berjaya membawa pulang satu pingat emas, dua perak dan tiga gangsa.
Pingat emas Sarawak disumbangkan menerusi Fatimah Sun Sun Foo Chong bagi kategori Perseorangan Wanita B1.
Sementara itu pingat perak pula diraih Then Chiew Yen dan Azizie Suip masing-masing dalam acara perseorangan lelaki dan wanita B2.
Manakala Dayangku Aisah Awg Taha menghadiahkan Sarawak dengan pingat gangsa dalam kategori Perseorangan Wanita B1, Rustam Effendy Umar dalam acara Perseorangan Lelaki B2 dan Ahmad Bashirun Ismail menerusi Perseorangan Lelaki B6.
Terdahulu, hadir menyaksikan perlawanan akhir dan menyampaikan pingat kepada para pemenang ialah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah.
Turut hadir Penolong Ketua Kontinjen Sarawak Dr. Dayang Norfizawati, Ketua Kontinjen Negeri Pahang Khaizulnizam Mohd Zuldin, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan merangkap Ketua Kontinjen Negeri Sembilan Ahamd Syarifuddin Sarmin dan Ketua-Ketua Kontinjen Negeri-Negeri lain. EDISI UKAS