KUCHING: Pasukan Bagong Nyelow dari Jabatan Kerja Raya (JKR) dinobatkan sebagai Johan bagi pertandingan Amazing Race Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) Wanita Sarawak 2024, bertemakan 'Kampungku'.
Penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma'ani Tun Tuanku Bujang di Kelab Golf Sarawak (KGS), di sini pada Sabtu.
Bagong Nyelow berjaya mendahului 49 pasukan lain dengan mengutip markah tertinggi dalam pertandingan tersebut, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2,000.
Sementara itu, tempat kedua dimenangi pasukan Ceredit Girls dari Pusaka Capital Sdn Bhd, manakala tempat ketiga milik D'Gardees dari Unit Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia, Jabatan Premier Sarawak.
Bagi Anugerah Khas Pakaian Beragam Terbaik pula, Juara dinobatkan kepada pasukan Pink Cyclone dari Dewan Bandaraya Kuching Utar(DBKU), diikuti tempat kedua dan ketiga berpihak kepada pasukan Ma Lop dari Pejabat Residen Kuching serta pasukan Empat Dara Pinggiran Tambak dari Lembaga Air Kuching.
Terdahulu semasa berucap, Pengerusi MAKSAK Wanita Sarawak, Datin Amar Baduyah Bujang berkata, program seumpamanya sangat signifikan dalam memainkan peranan untuk membudayakan norma baharu dalam perkhidmatan awam.
Menurut beliau, ia bukan sahaja menggalakkan kerjasama antara agensi, malah membuka ruang untuk menyemai nilai-nilai positif ke arah memperkukuh integriti dan kualiti perkhidmatan awam di Sarawak.
"Cabaran utama bagi penjawat awam dalam situasi ini adalah untuk bertindak dengan bijak, menerokai idea kerja baharu bagi menghadapi persekitaran kerja yang kompleks dan sentiasa berubah mengikut situasi.
"Menang dan kalah dalam pertandingan ini tidaklah penting; apa yang lebih bermakna adalah kebahagiaan dan persahabatan yang dikongsi antara peserta," katanya.
Dalam ucapan sama, Datin Amar Baduyah turut merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada beberapa agensi penaja yang telah membantu menjayakan pertandingan tersebut termasuk Petroleum Sarawak Bhd (Petros), Affin Bank, Yayasan Sarawak, Bintulu Port Holding, Sarawak Energy Berhad, Pusaka Capital, Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA), Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) dan FARLEY Supermarket.
Hadir sama ialah isteri Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Puan Sri Datin Amar Fatimah Mohamad Iskandar, Pengerusi MAKSAK Wanita Sarawak Datin Amar Baduyah Bujang, Pengerusi Biro Pendidikan MAKSAK Wanita Datin Fauziah Mardiana Sepawi, Pengerusi Biro Kebajikan MAKSAK Wanita Datin Sharifah Aminah Wan Mohamad, Pengerusi Biro Sosial Tres Andrew Taki, Bendahari MAKSAK Wanita Gladys Lim dan Setiausaha Kehormat Exco Wanita Sarawak Norhayati Mornie.-Edisi UKAS