SERIAN: Seramai 133 Ketua Masyarakat, Ketua Kaum (KMKK), dan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari Daerah Siburan telah menghadiri Bengkel Pemantapan Ketua Masyarakat, Ketua Kaum serta JKKK Kampung anjuran Pejabat Daerah Siburan.
Bengkel yang berlangsung di Dewan Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Serian pada Jumaat itu bertujuan untuk memperkasa peranan pemimpin kampung dalam menghadapi cabaran pengurusan, pembangunan komuniti, serta pembangunan kampung secara keseluruhan.
Antara objektif utama bengkel ini adalah untuk memberi penerangan berhubung Surat Pekeliling Bil. No.19/2020 Garis Panduan Pengurusan JKKK, di samping meningkatkan keupayaan KMKK dalam pengurusan kewangan, perancangan projek, serta penyelesaian masalah di peringkat kampung.
Majlis penangguhan bengkel tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Residen Serian, Abdul Khalid Manap.
Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan pemimpin komuniti untuk menjalankan tanggungjawab dengan lebih berkesan bagi memastikan pembangunan kampung dan kesejahteraan masyarakat dapat diperkukuh.
Tambah beliau, pemimpin seperti KMKK dan JKKK perlu dilengkapi dengan kemahiran serta pengetahuan terkini agar mereka dapat menghadapi cabaran semasa yang dihadapi oleh komuniti masa kini.
Bengkel ini merupakan langkah penting dalam memperkukuhkan kepimpinan komuniti demi mencapai pembangunan yang mampan dan menyeluruh di Daerah Siburan. – EDISI UKAS