ADUN Opar Lepaskan 14,000 Anak Ikan di Sistem Tagang Sebako

Disiarkan pada 19 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS



SEMATAN: Sebanyak 14,000 anak ikan lampam jawa telah dilepaskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang semasa merasmikan Program Pelepasan Benih Ikan Sistem Tagang Kampung Sebako di sini pada Rabu.

Bercakap ringkas semasa perasmian tersebut, beliau berkata sistem tagang ini mempunyai objektif utama bagi memelihara serta memulihara ekosistem sungai dan juga kawasan sekitarnya.

Jelasnya, ia adalah bagi menjadikan habitat yang kondusif kepada ekosistem akuakultur. 

“Ini adalah untuk menjaga nilai estetik kawasan Sebako yang berpotensi menjadi kawasan eko pelancongan yang popular dalam kalangan penduduk dalam dan luar negeri,”katanya. 

Tambah beliau, pemeliharaan dan pemuliharaan ekosistem melalui sistem tagang ini juga adalah untuk untuk membantu mengelakkan spesis flora dan fauna yang terdapat di kawasan ini daripada pupus serta boleh diketengahkan kepada generasi masa kini.

“Melalui sistem tagang ini, penduduk kampung secara tidak langsung akan mendapat manfaatnya khususnya sebagai sumber protein utama, sumber kewangan kepada Jawatankuasa Tagang Sebako serta membantu meningkatkan nilai dalam aspek ekopelancongan di Kampung Sebako ini sendiri.

“Ianya juga akan memupuk rasa tanggungjawab kepada penduduk sekitar terhadap penjagaan alam sekitar khususnya sungai dengan membantu menjaga kebersihan sungai serta tidak mencemarkan sungai”,jelasnya. 

Untuk rekod, sistem tagang Kampung Sebako telah dimulakan sejak 8 November 2018 dan sepanjang 1.5 kilometer Sungai Sebako merupakan kawasan yang ditagang dalam projek ini. 

Kawasan tagang ini dibahagikan kepada tiga zon iaitu Zon Merah, Zon Kuning dan Zon Hijau.-EDISI UKAS