KUCHING: Kontinjen Sarawak sudah boleh mengesahkan kejuaraan Sukan Para SUKMA XXI 2024 meskipun acara masih belum berakhir.
Setakat jam 6.30 petang Jumaat, tuan rumah masih unggul di kedudukan teratas dengan kutipan 82 pingat emas, 51 perak dan 72 gangsa.
Ia jauh meninggalkan pencabar yang juga juara bertahan Sabah di kedudukan kedua dengan 62 emas, 42 perak dan 31 gangsa.
Mengekori di kedukan ketiga adalah Johor dengan 33 emas, 34 perak dan 29 gangsa.
Esok hanya acara lawn bowl masih berlangsung yang akan menawarkan 12 pingat emas.
Secara matematik, pasukan Sabah tidak akan mampu memintas Sarawak jika memenangi kesemua 12 pingat emas yang ditawarkan itu.
Sarawak bagaimanapun enggan meraikan dahulu kejayaan tersebut kerana perlu melunaskan sasaran 83 pingat emas.
Justeru, Arena Lawn Bowl Sarawak akan menjadi tumpuan utama esok hari untuk menyaksikan samada kontinjen tuan rumah mampu meraih sebutir lagi emas bagi melengkapkan sasaran 83 pingat emas.
Dalam pada itu, atlet para powerlifting Sarawak sekali lagi tidak menghampakan apabila berjaya membawa pulang dua lagi emas pada hari penutup acara berkenaan di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak petang tadi.
Emas disumbangkan oleh Mohamad Fuad Alen dalam kategori 59 kilogram (kg) lelaki yang melakukan angkatan terbaik menerusi percubaan ketiga seberat 108kg dan jumlah angkatan 313kg.
Selain itu, acara tenpin boling juga cemerlang menambah satu emas dalam kategori Trio Tenpin Bowling Terbuka yang melibatkan kategori TPB8, TPB9 dan TPB10 yang diwakili Khalik Lamat, Wong Kee Soon dan Marcos Chang Hao Hong.
Trio atlet boccia, Dale Adelric Teri, Angeline Melissa dan Tay Bon Seng pula melakar kejutan dengan berjaya menewaskan wakil Pulau Pinang, Lim Chun Tian, Ooi Wan Chean dan Muhammad Aiman Hakim Abdul Razak untuk pingat emas.
Manakala Sun Wan Ting menceriakan kempen lawn bowl tuan rumah apabila memenangi pingat emas dalam kategori Perseorangan Wanita B1 Kumpulan R selepas menundukkan rakan sepasukan, Hazel Sigang Daud dengan mata 10-8. - EDISI UKAS