Sarawak Tutup Kempen Tenpin Boling Para SUKMA Dengan Kutipan 7 Emas

Disiarkan pada 28 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Kontinjen Sarawak menamatkan kempen acara tenpin boling pada Para SUKMA XXI 2024 dengan kutipan tujuh pingat emas.

Pada hari terakhir acara itu di Megalane Sarawak Batu Kawa pada Jumaat, Sarawak menambah satu lagi emas dalam kategori Trio Tenpin Bowling Terbuka yang melibatkan kategori TPB8, TPB9 dan TPB10.

Sarawak dianggotai Julaihi Khalik Lamat, Wong Kee Soon dan Marcos Chang Hao Hong.

Tempat kedua dimenangi oleh pasukan Melaka yang terdiri daripada Mohd Amiruddin, Mohd Azrin, dan Mohd Mulhim.

Manakala pingat gangsa diraih oleh pasukan Selangor melalui gandingan Ahmad Nazri, Nadia Syafika dan Amin Rashid.

Ketua Kontinjen Sarawak Datuk Mohammad Razi Sitam dalam temubual bersama pemberita, menyatakan rasa syukur atas pencapaian pasukan setakat hari keenam kejohanan di mana Sarawak telah berjaya mengumpul 82 pingat emas, hampir mencapai sasaran 83 emas yang ditetapkan.

“Kita masih ada satu lagi acara esok, iaitu lawn bowl, di mana kita menyasarkan tiga pingat emas untuk sukan tersebut.

“Jika berjaya, sasaran kami untuk meraih 83 emas akan tercapai. Saya menyeru rakyat Sarawak, terutamanya penyokong setia, untuk hadir memberi sokongan kepada pasukan lawn bowl kita esok di arena lawn bowl Sarawak," ujarnya penuh harapan.

Tambah beliau lagi, Sarawak kini mendahului Sabah dengan perbezaan 20 pingat emas, di mana Sabah telah mengumpul 62 pingat setakat ini.

Bagaimanapun, beliau enggan membuat sebarang ramalan awal dan menyerahkan segala keputusan kepada aksi terakhir esok.

“Kita doakan Sarawak muncul sebagai juara keseluruhan Para SUKMA kali ini,” kata Datuk Mohammad Razi lagi.

Sementara itu, atlet Sarawak, Julaihi Khalik Lamat ketika ditemui pemberita selepas kemenangannya, menyatakan bahawa kejayaan kali ini didedikasikan kepada arwah Jimmy Siang, bekas atlet para SUKMA Sarawak yang banyak berjasa kepadanya.

Menurut Julaihi, arwah merupakan individu penting yang telah membuka jalan baginya dalam sukan tenpin boling di peringkat Para SUKMA.

"Ini adalah penyertaan saya dalam Para SUKMA yang keempat sejak tahun 2016, dan kini saya kembali ke Sarawak lagi. Namun, ini merupakan SUKMA terakhir saya.

“Saya banyak berselawat, membaca doa, dan menenangkan diri sebelum masuk ke gelanggang. Sentiasa mengingatkan diri tentang kejayaan yang lepas membantu saya fokus," katanya dengan nada penuh emosi.

Julaihi turut berkongsi bahawa pingat emas yang diraihnya kali ini khusus didedikasikan kepada mentornya, mendiang Jimmy Siang, yang merupakan insan pertama yang memperkenalkannya kepada sukan tenpin boling dalam Para SUKMA.

Dengan baki satu hari lagi, harapan Sarawak untuk mencapai sasaran emas terakhir terletak pada kejayaan pasukan lawn bowl.

Semua mata kini tertumpu kepada acara itu esok dalam usaha memastikan Sarawak merangkul kejuaraan keseluruhan kejohanan ini.

Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah.-EDISI UKAS