KUCHING: Pasukan campuran boccia Sarawak berjaya meraih pingat emas dalam acara berpasukan campuran BC 1/BC 2 pada temasya Para Sukma XXI Sarawak 2024.
Kemenangan ini dicapai oleh trio hebat Sarawak, Dale Adelric Teri, Angeline Melissa, dan Tay Bon Seng, yang menewaskan Pulau Pinang dengan skor 10:4.
Pertarungan sengit yang berlangsung di Dewan Persatuan Bola Keranjang Sarawak menyaksikan aksi cemerlang Sarawak, memberikan tekanan konsisten sehingga pasukan Pulau Pinang, yang diwakili oleh Lim Chun Tian, Ooi Wan Chean, dan Muhammad Aiman Hakim Abdul Razak, terpaksa akur dengan kekalahan.
Majlis penutupan turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu, yang menyaksikan kegigihan pasukan Sarawak dalam memburu kilauan emas.
Dalam perlawanan lain, pasukan campuran boccia Sabah turut mencatat kemenangan tipis 5:4 menundukkan Terengganu.-EDISI UKAS