Sarawak Kini Sah Pemegang Saham Terbesar AFFIN Bank

Disiarkan pada 28 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Kerajaan Sarawak kini sah sebagai pemegang saham terbesar AFFIN Bank dengan 31.25 peratus kepentingan selepas Bank Negara Malaysia (BNM) meluluskan pegangan majoriti kerajaan Sarawak dalam institusi perbankan berkenaan.

Perjanjian pembelian saham (SPA) itu dilakukan melalui anak syarikat milik kerajaan Sarawak iaitu SGAssetfin Holdings Sdn. Bhd. bersama Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holdings Berhad.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, idea untuk memperoleh pegangan saham yang besar dalam AFFIN bermula dengan rasa hormat dan pengiktirafan yang mendalam terhadap peranan penting industri perbankan dalam pembangunan ekonomi dan masyarakat.

“Keputusan kerajaan Sarawak untuk melabur dalam AFFIN didorong oleh langkah strategik untuk mewujudkan platform kewangan dan sinergi dengan sebuah bank yang kukuh dan berwibawa, yang penting bagi Sarawak untuk meningkatkan potensi ekonominya yang besar,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli antara LTAT dan Boustead Holdings Berhad di sini pada Jumaat.

Menjelas lanjut, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu kejayaan ini akan menjadi pemangkin kepada kerajaan Sarawak dalam usaha menyokong dan memenuhi agenda ekonomi yang mampan negeri ini.

“Segmen masyarakat yang kurang mendapat perhatian sering menghadapi kesukaran untuk mengakses perkhidmatan perbankan formal disebabkan oleh pelbagai halangan.

“Menyedari cabaran ini, AFFIN boleh melaksanakan strategi untuk merapatkan jurang ini dengan menyediakan akses mudah kepada perkhidmatan perbankan, penyelesaian pembiayaan mikro, dan program literasi kewangan,” jelas beliau lagi.

Sebelum ini, kerajaan Sarawak hanya memegang 4.81 peratus kepentingannya dalam AFFIN Bank.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri-Menteri Sarawak dan Persekutuan, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak dan Persekutuan, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Peguam Besar Sarawak Datu Saferi Ali, Ketua Pegawai Eksekutif Affin Bank Berhad Datuk Wan Razly Abdullah serta tetamu kenamaan yang lain. -EDISI UKAS