Skuad Para Badminton Sarawak Capai Sasaran Raih Tiga Emas

Disiarkan pada 28 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS

 
KUCHING: Chef de Mission (CDM) Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, Datuk Mohamad Razi Sitam mengucapkan tahniah kepada skuad Para Badminton Sarawak kerana berjaya mencapai sasaran dengan meraih tiga pingat emas.

Semasa ditemui media, beliau menzahirkan rasa bangga melihat kesungguhan dan ketabahan para atlet yang mencerminkan nilai sebenar dalam sukan, iaitu tidak pernah menyerah.

"Sebenarnya kita mampu mencapai lebih daripada itu, tetapi ada di antara atlet kita yang mengalami kecederaan, dan belum sembuh sepenuhnya, kita memahami keadaan mereka.

"Walaubagaimanapun kita sangat berbangga kerana pemain kita semuanya bersemangat sehingga ke saat akhir ini,"katanya semasa menyaksikan perlawanan akhir Para Badminton, di Dewan Persatuan Badminton Sarawak, di sini pada Jumaat.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew serta Timbalan CDM Para Sukma XXI Sarawak 2024 Safiee Ahmad dan Razaili Gapor.

Pingat emas berjaya dirangkul Ashley Irenaeus Jeck, 24, dalam acara Perseorangan Lelaki (WH2) manakala Nurzammiezatul Syafiqqah Mohamad Zamberi, 23, dalam acara Perseorangan Wanita (SH6), diikuti Gregory Kanyan, 24, bersama Nursyazwani Shahrom, 33, dalam acara Beregu Campuran (SL3-SU5).

Secara keseluruhan, skuad Para Badminton menyumbang tiga pingat emas, satu pingat perak dan empat pingat gangsa.-Edisi UKAS