KUCHING: Lapan pingat dihadiahkan kepada Sarawak menerusi skuad Para Badminton pada kemuncak perlawanan tersebut yang berlangsung di Dewan Persatuan Badminton Sarawak, di sini pada Jumaat.
Penyampaian pingat kepada atlet-atlet Sarawak disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.
Pingat emas berjaya dirangkul Ashley Irenaeus Jeck, 24, dalam acara Perseorangan Lelaki (WH2) manakala Nurzammiezatul Syafiqqah Mohamad Zamberi, 23, dalam acara Perseorangan Wanita (SH6), diikuti Gregory Kanyan, 24, bersama Nursyazwani Shahrom, 33, dalam acara Beregu Campuran (SL3-SU5).
Selain itu, Nursyazwani Shahrom turut menghadiahkan pingat perak dalam acara Perseorangan Wanita (SL4+SU5).
Chan Lee Ching, 39, pula meraih dua pingat gangsa dalam acara Perseorangan Wanita (SL4+SU5) dan acara Beregu Campuran (SL3-SU5) bersama Mohd Aqil Haziq Nong Chee.
Turut memperoleh pingat gangsa ialah Gregory Kanyan, 24, bersama Nik Ariffin Putit, 37, dalam acara Beregu Lelaki (SL3-SL4) dan Ardiles Benson, 36, bersama Nurzammiezatul Syafiqqah Mohamad Zamberi dalam acara Beregu Campuran (SH6).
Secara keseluruhan, skuad Para Badminton menyumbang tiga pingat emas, satu pingat perak dan empat pingat gangsa.
Terdahulu, hadir menyaksikan perlawanan akhir itu ialah Chef de Mission (CDM) Para SUKMA XXI Sarawak 2024 Datuk Mohamad Razi Sitam diiringi Timbalan CDM Para Sukma XXI Sarawak 2024 Safiee Ahmad dan Razaili Gapor.-Edisi UKAS