Kerajaan Sarawak Titik Berat Pembangunan Luar Bandar

Disiarkan pada 19 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS



BINTANGOR: Kerajaan Sarawak sentiasa menitik berat pembangunan dan keperluan rakyat di kawasan luar bandar.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing memberitahu, setiap kelulusan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP), Projek Kecil Luar Bandar (MRP), Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS) dan geran khas merupakan komitmen daripada kerajaan negeri.

 

“Kelulusan projek-projek berkenaan membuktikan pucuk pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam memastikan pembangunan negeri,” jelasnya.

 

Beliau berkata demikian semasa melakukan lawatan ke rumah panjang di konstituensi Meradong pada Khamis.

 

Pengerusi Parti Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor itu juga berkata, lawatan di peringkat akar umbi adalah penting untuk mengetahui sendiri masalah yang berlaku di rumah panjang dan menerima permohonan daripada para Tuai Rumah dan penduduk.

 

Datuk Ding turut memaklumkan kepada penduduk rumah panjang bahawa pasukan petugas khas dari Jabatan Premier Sarawak akan menganjurkan program membantu kanak-kanak yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri atau mengalami masalah permohonan taraf warganegara Malaysia pada 10 sehingga 14 Jun di Pejabat Daerah Meradong.

 

Untuk rekod, Datuk Ding bersama rombongan telah melakukan lawatan di enam rumah panjang di kawasan Sungai Gemuan Bintangor.

 

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Parti SUPP Cawangan Bintangor Chieng Buong Ong dan barisan tertinggi SUPP Cawangan Bintangor. -EDISI UKAS