KUCHING: Kontinjen Sarawak meneruskan penguasaan mereka dalam acara tenpin boling pada Para SUKMA XXI dengan meraih satu lagi pingat emas dalam aksi berlangsung di Megalane Sarawak Batu Kawah pada Khamis.
Pasangan tuan rumah, Abang Yahya Abang Azhar dan Nur Syazwani Marais mempamerkan aksi cemerlang dalam kategori Beregu TPB4 + TPB4 Terbuka sekali gus mengangkat Sarawak ke podium teratas.
Mereka berjaya menewaskan pasangan Selangor, Muhammad Danial Azrai Zulkifly dan Muhammad Hazmi Khairil Azri yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.
Pingat gangsa pula dimenangi oleh pasangan Eliyana Johari dan Syed Umar Syed Abdullah Thani juga dari Selangor.
Selain kemenangan emas tersebut, pasangan Sarawak, Alim Sohai dan Julaihi Khalik Lamat turut menyumbang pingat perak dalam kategori Beregu TPB8 + TPB8 Terbuka.
Pasangan Selangor, Ahmad Nazry dan Roshedeey meraih emas dalam kategori ini, sementara gangsa disandang oleh pasangan dari Pahang, Muhd Syawal dan Ruzila Mustapha.
Sementara itu, dalam kategori Beregu TPB10 + TPB10 Terbuka, pasangan Sarawak, Nur Amalina Mohd Mosadad dan Williey Jin, melengkapkan pencapaian negeri ini dengan meraih pingat gangsa.
Kategori ini menyaksikan kemenangan gemilang pasangan Melaka, Mohd Rezal dan Muhammad Mulhim, yang menewaskan pasangan Selangor, Fauzi Ghazali dan Amin Rashid untuk membawa pulang emas.
Dengan pencapaian keseluruhan enam emas setakat 26 September, Sarawak terus membuktikan kehebatan mereka, bukan sahaja sebagai tuan rumah yang berjaya, tetapi juga sebagai kuasa besar dalam sukan para tenpin bowling di peringkat kebangsaan.-EDISI UKAS