KUCHING: Dua atlet Sarawak, Siti Zubaidah Puini dan Noor Kalsum Fadil masing-masing mengungguli acara rejam lembing wanita bagi kategori F12/F13 sempena temasya Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) XXI Sarawak 2024 yang berlangsung di Satdium Sarawak Petra Jaya pada Khamis.
Siti Zubaidah selesa di hadapan apabila rejaman pertama beliau terus mencatat jarak sejauh 20.24 meter meninggalkan rakan senegerinya, Noor Kalsum yang akur dengan perak apabila berjaya membuat rejaman terbaik pada percubaan ketiga beliau dengan jarak sejauh 15.36 meter.
Menariknya, beliau yang dibatalkan percubaan kedua hingga kelima tidak menghadapi masalah untuk menghadiahkan sebutir lagi emas buat kontinjen Sarawak sekaligus menjarakkan lagi pungutan pingat buat tuan rumah itu.
Manakala, pingat gangsa pula dikurniakan kepada atlet Sabah, Shirley Jungin yang membuat rejaman terbaik pada percubaan keempat dengan jarak sejauh 11.94 meter.
Sementara itu, Siti Zubaidah ketika ditemui pemberita memberitahu bahawa, beliau pada awal karier merupakan atlet bagi acara olahraga trek sebelum membuat keputusan untuk terlibat dalam acara olahraga padang selepas prestasi yang kurang baik.
“Sebenarnya saya dulu berlari tetapi larian saya agak kurang sedikit jadi saya membuat keputusan untuk bertukar arah dan acara ini (rejam lembing wanita), saya boleh ‘makan’ sikit dan inilah hasil dia,” ujar beliau.
Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi seorang lagi atlet tuan rumah, Dlanny Bagu yang menduduki kedudukan kelima dengan rejaman sejauh 10.03 meter pada percubaan terakhir beliau.
Sebelum ini pada Rabu, ketiga-tiga wakil Sarawak itu mendominasi sekaligus menyapu bersih pingat emas, perak dan gangsa bagi acara lempar cakera wanita kategori F12/F13. -EDISI UKAS