SIMUNJAN: Program ‘Greener Simunjan’ bertujuan untuk mendidik dan memupuk rasa cinta terhadap alam sekitar dalam kalangan komuniti di Daerah Simunjan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris berkata, program seperti ini adalah sangat digalakkan agar generasi-generasi pewaris dapat dididik tentang betapa pentingnya menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar ini.
"Generasi yang akan datang akan dapat menikmati kehidupan yang mana keindahan flora dan faunanya masih terjaga rapi.
"Berdasarkan pemerhatian secara kasar, kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar di Simunjan ini masih kurang kerana isu-isu seperti penggunaan beg plastik dan penyedut minuman plastik masih digunakan secara meluas di Simunjan ini.
"Selain itu, saya juga telah dimaklumkan pada masa ini, anggaran jumlah keseluruhan sisa (total waste generated) di Daerah Simunjan adalah lebih kurang 50 ke 60 tan sebulan menunjukkan kadar pembuangan sampah ke tempat pembuangan sampah meningkat dari hari ke hari," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Perasmian Program Greener Simunjan di Dewan Mesra Simunjan pada Khamis.
Dalam pada itu, Awla menyeru kepada semua untuk sama-sama bertindak bagi memastikan daerah yang didiami ini tidak akan dipenuhi dengan sampah kerana bahan yang berasaskan dari plastik ini adalah sukar untuk dilupuskan.
Jelasnya, melalui program ini masyarakat dapat didedahkan kepada kepentingan amalan penggunaan beg kitar semula dan bekas makanan yang bukan dari plastik dipupuk di kalangan komuniti setempat.
Terdahulu, Awla bersama pihak Majlis Daerah Simunjan mengagihkan pelekat serta bahan bacaan dan risalah mengenai program tersebut berserta kempen ‘No Plastic’ di sekitar Pekan Simunjan.
Hadir sama Penolong Setiausaha Majlis Daerah Simunjan Oldrige Ripat Eric, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Simunjan (Sektor Pembangunan Murid) Pejabat Pendidikan Daerah Simunjan Jolidan Janeri, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Pejabat Kesihatan Daerah Simunjan Mohd. Sharul Hizri Hipni dan Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Simunjan Kaunselor Peter Nangi Dusin. -EDISI UKAS