LUNDU: Jentera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akar umbi pembangunan di seluruh Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata pembangunan kecil dan besar di Sarawak merupakan hasil usaha jentera PBB.
“Sekecil-kecil pembangunan di kawasan dan sebenar-besar pembangunan di Sarawak adalah hasil dari usaha dan kerja keras jentera parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang menjadi tulang belakang Kerajaan Sarawak.
“Ia juga menjadi akar umbi kawasan yang menentukan pemimpin-pemimpin di peringkat atasan dengan menjadi penyebar maklumat yang menentukan kemenangan parti pada waktu Pilihan Raya Negeri Sarawak,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Agung Pemilihan Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Kampung Pandan Lundu pada Selasa.
Katanya, dengan menjadi ahli parti, banyak sumbangan dapat diberikan dengan memberi sokongan dan pandangan kepada ketua cawangan untuk pembangunan di sesuatu kawasan.
“Dari segi pembangunan modal insan, ianya akan melahirkan pemimpin-pemimpin baharu yang akan memimpin dan mengatur dasar Kerajaan Sarawak di masa akan datang,” jelasnya.
Setakat ini sebanyak 23 ranting PBB telah mengadakan Mesyuarat Agung Pemilihan manakala 27 ranting masih dalam jadual sehingga tarikh pemilihan Ranting ditutup pada 31 Oktober 2024 yang akan memberi laluan untuk Mesyuarat Agung Pemilihan Cawangan Tanjong Datu 2024 sehingga 2027 pada November. -EDISI UKAS