Atlet Tinju Diingat Kekalkan Disiplin Atau Berdepan Pengguguran

Disiarkan pada 19 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) mengingatkan atlet khususnya yang terpilih mewakili Sarawak pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 agar sentiasa mengekalkan disiplin mereka.
 
Presiden SABA Dato Rahman Lariwoo berkata pihak persatuan tidak akan berkompromi dengan mana-mana atlet yang bermasalah, malah akan menggugurkan mereka walaupun sudah terpilih dalam skuad akhir.
 
Katanya, SABA sentiasa mengekalkan rekod sebagai penyumbang pingat semasa SUKMA dan beliau mahu ia diteruskan pada temasya kali ini di mana Sarawak akan menjadi tuan rumah.
 
“Sebagai atlet disiplin sangat penting, bagus mana pun anda, tanpa disiplin, anda akan gagal. Disiplin sangat penting dalam sukan.
 
“Pada masa ini, Persatuan Tinju Negeri Sarawak di mata kementerian, SSC adalah antara persatuan yang sentiasa menyumbang pingat, kita tidak pernah gagal menyumbang pingat pada SUKMA.”
 
Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Tamah anjuran SABA di kediamannya di Kuching pada Khamis.
 
Dato Rahman juga mahu atlet tinju yang telah terpilih untuk membuktikan mereka layak diserap dalam skuad SUKMA Sarawak.
 
Ini kerana katanya ramai lagi atlet tinju di luar yang berminat untuk mewakili Sarawak dan bersedia merebut tempat dari mereka yang telah terpilih.
 
Sehubungan itu tambah Dato Rahman, beliau mahu atlet yang masih dalam senarai panjang skuad tinju untuk mempamerkan kemampuan mereka pada Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak 2024 pada Mei depan untuk menjamin slot mereka dalam skuad tinju Sarawak.
 
“Saya akan melihat prospek pingat emas untuk kita bawa berlatih ke luar negara nanti bagi mengasah lagi kemampuan anda.
 
“Bukan itu sahaja, saya telah berbincang dengan pihak Persatuan Tinju Malaysia (PTM) untuk memilih petinju kita yang berpotensi untuk mewakili Malaysia pada Sukan SEA akan datang,” tambah Dato Rahman lagi.
 
Pada majlis itu, Dato Rahman memperkenalkan jurulatih peribadi Daeloniel Mcdelon Bong atau Kilat Boy sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Tinju Dunia WBC pada 11 Mei nanti.
 
Katanya, jurulatih tersebut, Reynaldo Inocian (56) pernah membantu dalam kem jaguh tinju dunia, Manny Pacquiao selain pernah melatih petinju-petinju negara lansepert China, Dubai dan banyak lagi.
 
Majlis santai itu diserikan lagi dengan penyampaian sumbangan duit raya dari Dato Rahman kepada para atlet. - EDISI UKAS