KUCHING: Pasukan Lawn Bowls Sarawak terus menunjukkan prestasi cemerlang di Arena Lawn Bowls dengan kejayaan besar dalam beberapa kategori perseorangan lelaki.
Dalam perlawanan yang berlangsung semalam, Azizie Suip berjaya menebus semula kekalahan dalam perlawanan menentang Muhamad Ayup Mohd, atlet dari Pahang dalam kategori Perseorangan Lelaki B2 Kumpulan G.
Kali ini, beliau telah menciptakan kemenangan yang luar biasa apabila berjaya menewaskan Samsudin Mohd Bashah dari Perak dengan keputusan mutlak 21-0.
Kemenangan ini mengukuhkan posisi Azizie untuk mara ke pusingan yang seterusnya.
Sementara itu, Rustam Effendy Umar, dalam kategori yang sama, turut menampilkan aksi yang membanggakan apabila menewaskan pemain Johor, Mohd Noor Hafizan Ahmad Jais dengan skor 17-5.
Dalam kategori Perseorangan Lelaki B7 Kumpulan J, Mohamad Shukri Twkino turut mencipta kemenangan apabila menewaskan Mohamad Ammirul Fadzil Yusof dari Perak.
Beliau berjaya menewaskan pasukan lawan dengan skor 21-12, membuktikan bahawa Sarawak kekal sebagai berpotensi tinggi dalam acara ini.
Namun, dalam kategori Perseorangan Lelaki B6 Kumpulan F, Nischal Nicholas Bujang sekali lagi terpaksa akur dengan kekalahan 9-17 kepada pemain Johor, Mohd Hamdan Sidek.
Secara keseluruhan, prestasi pasukan Sarawak dalam beberapa kategori lawn bowls amat membanggakan dengan beberapa kemenangan besar yang dicipta. - EDISI UKAS